Home Nasional Tandas PKRC KUIPSAS memang ada kesan karat bukan kotor

Tandas PKRC KUIPSAS memang ada kesan karat bukan kotor

Sekretariat Pusat Kuarantin Rawatan Covid-19 (PKRC) di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS)  sentiasa berusaha meningkatkan usaha menambah keselesaan kepada penghuninya.

KUANTAN – Sekretariat Pusat Kuarantin Rawatan Covid-19 (PKRC) di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS)  sentiasa berusaha meningkatkan usaha menambah keselesaan kepada penghuninya.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, pihaknya menyedari masalah aduan mengenai tahap keselesaan.

Mengenai isu tandas dan persekitaran yang kelihatan kotor ia didapati berpunca daripada kesan karat.

“Keadaan tandas adalah pada tahap sederhana memandangkan terdapat kesan air karat pada lantai dan dinding tandas yang sukar dibersihkan.

“Namun kekotoran tandas bukanlah disebabkan najis mahu pun kesan penggunaan tandas yang tidak dibersihkan. Kawalan penularan wabak telah dibuat sebanyak dua kali iaitu terminal cleaning oleh Radicare dan sanitasi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat,” ujarnya kepada MalaysiaGazette malam tadi.

Beliau berkata demikian ekoran aduan penghuninya yang mendakwa keadaan di PKRC itu tidak selesa dan mereka terpaksa membersihkannya sendiri.

PKRC di KUIPSAS buat masa sekarang dihuni 71 orang Person Under Surveillance (PUS) yang merupakan kontak kepada kes positif di Hospital Sultan Ahmad Shah (HoSHAS) di Temerloh yang ditempatkan sejak 24 Jun lalu.

Menurut Che Adam, pemasangan cadar baharu telah dibuat oleh petugas Angkatan Pertahanan Malaysia sebelum kemasukan PUS dan dakwaan pembentukan kulat pada tempat tidur PUS adalah tidak relevan.

“Pemasangan cadar dan sarung bantal yang baru telah dibuat serta pemberian air mineral kepada penghuni dibuat serta mereka telah didaftarkan dan diberi bilik asrama secara seorang sebilik,” jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN:

PKRC Gambang sedia 1,380 katil – Sallehuddin

Pahang buka dua PKRC

Menurut Che Adam pihaknya juga membenarkan semua pesakit untuk keluar melihat dan memilih sendiri baki bilik yang ada untuk keselesaan masing-masing.

“Bagaimanapun, telah berlaku kesilapan agihan bilik kepada pesakit di mana bilik yang diberi merupakan tempat pengumpulan pakaian yang ditinggalkan pelajar KUIPSAS maka mereka telah ditukarkan ke bilik lain,” katanya.

Sebelum itu, beliau mengakui pihak PKRC KUIPSAS telah berjanji untuk memindahkan penghuninya ke i-KPKT namun memutuskan untuk membatalkan keputusan itu bagi memberi keutamaan kepada pesakit positif Covid-19 yang lebih berisiko.

Jelas Che Adam, pihaknya sudah menerima aduan dan mengadakan perbincangan lanjut Khamis lalu bersama pihak pengadu serta menyiapkan laporan penuh disusuli tindakan segera telah diambil. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Penghuni PKRC kena bersihkan sendiri pusat kuarantin?