KUALA LUMPUR – Kawalan pergerakan yang tidak berkesudahan telah menyebabkan ramai orang berdepan keadaan mental “penat kuarantin” (quarantine fatique).
Pakar psikologi, Dr. Wong Kok Fye berkata, kawalan pergerakan pelbagai bentuk selama lebih setahun tanpa mengetahui bila ia akan berakhir telah menyebabkan keadaan itu.
Beliau berkata, antara tanda-tanda “penat kuarantin” termasuk rasa takut tanpa sebab, mudah marah, ketegangan otot dan insomnia.
Jelasnya, tanda-tanda “penat” sebenarnya telah dikesan seawal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 apabila rakyat menunjukkan rasa penat dengan mengemukakan pelbagai permintaan kepada kerajaan.
“Ada yang berasa bosan duduk di rumah terlalu lama dan demi melepaskan tekanan dan rasa bosan itu, mereka sanggup mencabar undang-undang, malahan berkasar terhadap penguat kuasa,” katanya kepada China Press.
Menurut Kok Fye, rasa ketakutan dan tidak berdaya itu juga meningkat selari dengan pertambahan masa kawalan pergerakan.
“Mereka mula bimbang ini bimbang itu, bimbang sama ada maklumat tentang wabak itu cukup, bimbang tentang keadaan ekonomi dan sebagainya.
“Malahan ada yang mula melabel pesakit COVID-19 dan mahu mengelak daripada bertemu dengan bekas pesakit,” katanya.
Untuk mengurangkan implikasi “kepenatan kuarantin” , kata Kok Fye, orang ramai perlu mengamalkan tidur dan makan minum yang baik.
“Banyaklah bersenam dan hadkan penggunaan media sosial atau menonton televisyen terlalu lama.
“Dapatkanlah bantuan jika dibelenggu masalah psikologi,” katanya. – MalaysiaGazette