Home Ekonomi Pelabur asing lupus RM469.52 juta minggu lalu

Pelabur asing lupus RM469.52 juta minggu lalu

Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Selepas menjadi pembeli bersih selama dua minggu lalu, para pelabur asing kembali sebagai penjual bersih semula pada minggu berakhir 25 Jun dengan aliran keluar sebanyak RM469.52 juta.

Ketika pasaran dibuka semula pada Isnin lalu, pelabur asing menjual sebanyak RM184. 99 juta ekuiti tempatan.

Manakala pelabur runcit dan institusi merupakan pembeli bersih, masing-masing sebanyak RM121.41 juta dan RM63.58 juta.

MIDF Research berkata, pelabur asing bertindak sebagai penjual setiap hari pada minggu lalu dengan aliran keluar terbesar pada hari Isnin dan terkecil pada hari Jumaat iaitu RM0.71 juta.

Bagi pelabur runcit pula, mereka merupakan pembeli bersih setiap hari sepanjang minggu dengan belian tertinggi direkodkan pada hari Khamis sebanyak RM147.28 juta dan terkecil pada hari Selasa sebanyak RM81.25 juta.

Firma penyelidikan itu berkata, secara kumulatif, pelabur runcit membeli RM579.89 juta ekuiti di bursa sepanjang minggu lalu.

Sementara itu, pelabur institusi pula merekodkan aliran keluar kumulatif mingguan kepada RM110.37 juta. Jualan bersih berlaku dari
Rabu hingga Jumaat.

Jualan bersih terbesar dibuat oleh pelabur institusi sebanyak RM121.21 juta, iaitu pada hari Ahad.

Sebaliknya, pembelian bersih terbesar adalah pada hari Isnin sebanyak RM63.58 juta.

Sejak awal 2021, secara kumulatif, peruncit menjadi satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti kepada RM7.90 bilion.

Pelabur institusi tempatan dan pelabur asing adalah penjual bersih, masing-masing sebanyak RM4.08 bilion dan RM3.81 bilion.

MIDF Research berkata, dari segi penyertaan, pelabur runcit dan institusi mencatatkan penurunan pergerakan mingguan masing-masing 12.81% dan 21.61%. dalam nilai purata dagangan harian (ADTV) manakala pelabur asing pula meningkat 37.81%. – MalaysiaGazette