Home Utama Tiada kenaikan tarif elektrik

Tiada kenaikan tarif elektrik

Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini mengumumkan tidak akan menaikkan tarif elektrik untuk tempoh enam bulan kedua tahun ini.

Menurut Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, kerajaan bersetuju untuk membiayai pemberian rebat tambahan sebanyak 0.87 sen/kWj melibatkan peruntukan sebanyak RM493 juta melalui dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).

“Oleh itu, semua pemilik akaun Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dianggarkan seramai 9.44 juta pengguna akan terus menikmati rebat elektrik sebanyak 2.00 sen/kWj bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2021.

“Pemberian rebat tambahan ini membolehkan semua pemilik akaun TNB menikmati purata diskaun sebanyak lima peratus bagi tempoh tersebut,” katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

Shamsul Nasarah berkata, pengumuman mengenai itu akan diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang ini.

Dalam pada itu, bagi para pengguna di Kulim High Technology Park (KHTP) yang mendapat bekalan elektrik daripada NUR Power Sdn. Bhd., kerajaan juga bersetuju untuk memberi rebat elektrik sebanyak 2.00 sen/kWj kepada pengguna bukan domestik bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2021.

Ini katanya merupakan kali pertama pengguna bukan domestik di KHTP menikmati rebat elektrik sejak mekanisme penetapan tarif Incentive-Based Regulations dilaksanakan pada tahun 2017.

“Pemberian rebat ini dilaksanakan berikutan berlakunya penurunan harga bahan api gas dan bekalan elektrik pukal TNB pada separuh tahun pertama 2021 serta penjimatan daripada pelarasan kos sebenar bahan api bagi tempoh Julai hingga Disember 2020,” katanya lagi.

Tambah Shamsul Nasarah lagi, selain pembiayaan rebat tambahan itu kerajaan telah bersetuju untuk memberi diskaun bil elektrik secara bersasar kepada pengguna-pengguna domestik dan bukan domestik bagi tempoh Julai hingga September 2021 untuk Semenanjung dan Sabah.

Selain itu, golongan miskin tegar dengan pendapatan RM1,169 ke bawah yang berdaftar di dalam Sistem e-Kasih adalah layak mendapat rebat bil elektrik RM40.

Untuk rekod, sehingga Mei tahun ini, sejumlah 282,182 Ketua Isi Rumah (KIR) layak untuk menerima rebat ini namum bagaimanapun hanya 113,745 daripada KIR yang layak telah mengemas kini nombor akaun bil elektrik mereka. – MalaysiaGazette