TANJONG KARANG – Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menafikan dakwaan Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud kononnya bekalan vaksin Covid-19 tidak mencukupi di Selangor.
Sebaliknya Khairy menegaskan, dakwaan itu tidak berasas kerana ketika ini kapasiti yang diperlukan Selangor hanya 40,000 dos sehari.
“Memang kita hantar vaksin, memang ada baki di Selangor dan kita nak hantar lebih banyak vaksin kepada mereka.
“Saya bermesyuarat dengan Menteri Besar dua minggu lepas, kerajaan negeri yang sebut bahawa kapasiti Selangor untuk Jun adalah 40,000 dos sahaja setiap hari. Kita bagi bekalan ikut kapasiti tersebut.
“Saya tak pasti Exco Kesihatan dapat angka 80,000 itu dari mana.
”Dia pun tak hadir mesyuarat itu,” katanya lagi.,” katanya pada sidang media di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Institut Pengurusan Peladang Tg Karang, di sini, hari ini.
Terdahulu, Dr Siti Mariah dalam Twitternya mendakwa, dalam masa beberapa hari lagi, sebilangan PPV di Selangor akan kehabisan vaksin dan terpaksa dihentikan operasi jika tidak menerima bekalan vaksin baharu.
Dalam pada itu, setakat semalam, Selangor telah mendapat lebih 1.36 juta dos vaksin dan tidak masuk akal jika dakwaan ia tidak dihantar negeri itu, apatah lagi berkurangan.
“Soal tidak menghantar vaksin, vaksin tak cukup dan sebagainya, itu tak benar sama sekali.
“Ini adalah data yang kita ada yang saya bentangkan pada hari ini supaya rakyat pun tahu kita sudah hantar 1.36 juta dos ke Selangor
“Baki masih dalam 322,000 dos, malah hari ini pun ada penghantaran baharu kepada Selangor,” katanya.
Beliau berharap Selangor dapat mencapai kapasiti 100,000 sehari menjelang Julai ini.
“Ini adalah perancangan kita dan kita akan hantar vaksin untuk cukup memenuhi sasaran iaitu 100,000 suntikan setiap hari.
“Kapasitinya seperti mana yang dibentang Kerajaan Negeri Selangor di hadapan menteri besar pada saya adalah 40,000 dos,” katanya. – MalaysiaGazette