KUALA LUMPUR – Pemain sayap lincah Perak FC, Farhan Roslan ingin segera bangkit sebaik sahaja saingan Liga Super kembali bersambung selepas diketepikan dalam tujuh perlawanan terakhir susulan kecederaan peha.
Farhan mengakui kecewa apabila terpaksa melupakan baki tujuh perlawanan sebelum saingan Liga Malaysia berehat akibat kecederaan peha kiri ketika aksi berdepan Penang FC pada April lalu.
Namun, pemain berusia 25 tahun ini tidak mensia-siakan waktu yang ada untuk fokus kepada proses pemulihan dan kini sudah dibenarkan untuk kembali berlatih di padang bersama pasukan.
Sudah pasti, fokus utamanya adalah ingin mendapatkan kembali kecergasan dan momentum terbaik bagi mendapatkan semula kepercayaan pengendali, Chong Yee Fatt untuk turun beraksi.
“Saya memang agak kecewa pada pusingan pertama tempoh hari kerana hanya sempat beraksi untuk lima perlawanan sahaja dan selepas itu mengalami kecederaan.
“Memang sasaran utama adalah untuk kembali cergas apatah lagi sekarang saya sudah dapat berlatih di padang, jadi saya harap sangat dapat beraksi semula untuk bantu pasukan.
“Saya juga sudah semakin yakin dengan kaki saya kerana sudah hampir tiga bulan menjalani proses pemulihan, jadi saya percaya akan mampu untuk beraksi pada baki saingan ini,” jelasnya.
Pada musim ini, Farhan dipinjamkan ke Perak FC daripada pasukan Kedah Darul Aman FC dan sempat menjaringkan satu gol ketika aksi perlawanan kedua Liga Super menentang Sri Pahang FC.
Justeru, dia meletakkan harapan besar agar dapat membuktikan kehadirannya ke Perak FC bukan sekadar ingin menumpang sebaliknya akan tetap berusaha membantu pasukan untuk berada di kedudukan lebih baik.
“Bagi saya, kehadiran saya ke sini bukan untuk sekadar menumpang sahaja walaupun saya hadir sebagai pemain pinjaman.
“Bukan sahaja saya memikirkan untuk prestasi diri sendiri, tetapi saya serius ingin bantu Perak untuk kembali kepada prestasi sebenar selepas kami bergelut pada awal musim ini.
“Dengan beberapa rombakan pemain yang ada, saya percaya kami akan beraksi lebih baik selepas ini dan saya juga ingin buktikan kehadiran saya di sini dapat memberi impak positif”, tambahnya.
Perak FC kini berada di kedudukan ke 10 liga selepas hanya meraih tiga kemenangan sahaja dalam 13 perlawanan setakat ini. – MalaysiaGazette