Home Nasional Khairy Jamaluddin perhalusi jumlah vaksin PIKAS

Khairy Jamaluddin perhalusi jumlah vaksin PIKAS

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin bersama Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar melihat proses pemberian vaksin semasa mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tanjong Karang di Institut Pengurusan Peladang Tanjong Karang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 28 JUN 2021.

TANJONG KARANG – Kerajaan sedang memperhalusi keperluan vaksin untuk Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) sebelum ia dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ia bagi memastikan bekalan vaksin untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) tidak terjejas.

“Saya tengah muktamadkan jumlah dos yang kita boleh beri kepada program PIKAS.

“Jadi kita sedang memperhalusi keperluan mereka tanpa mengganggu PICK vaksinasi kepada rakyat.

“Dalam dua tiga hari, ini akan saya putuskan jumlah vaksin yang boleh kita beri kepada sektor perkilangan dan industri lain seperti pembinaan bagi Julai ini,” katanya pada sidang media di Institut Pengurusan Peladang Tanjong Karang, hari ini.

Sebelum ini, kira-kira 1.9 juta dos vaksin Covid-19 diperlukan bagi menjayakan pelaksanaan PIKAS menjelang akhir September depan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, jumlah tersebut termasuk jaminan oleh Khairy iaitu 600,000 vaksin diperuntukkan ke dalam program PIKAS pada bulan hadapan.

Menurut beliau, ia diikuti sebanyak 600,000 dos vaksin pada Ogos dan sejumlah 795,000 vaksin pada September. – MalaysiaGazette