Home Ekonomi Had siling jaminan SJPP ditambah RM20 bilion

Had siling jaminan SJPP ditambah RM20 bilion

Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia jatuh 2.97 peratus kepada AS$104.7 bilion setakat 29 Jun lalu berbanding AS$107.9 bilion pada 14 Jun.
Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meningkatkan lagi had siling jaminan di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad atau SJPP sebanyak RM20 bilion menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM56.5 bilion.

Selain itu, Bank Negara Malaysia (BNM) juga komited dalam menyediakan akses bantuan kewangan kepada usahawan PKS.

Perdana Menteri berkata, sehingga kini, masih terdapat RM6.6 bilion baki sedia ada daripada keseluruhan RM25.1 bilion yang telah disediakan oleh BNM untuk manfaat pemohon baharu.

Melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi hari ini, BNM bersetuju untuk menambah RM2 bilion lagi menjadikan baki dana ini berjumlah RM8.6 bilion ringgit.

Perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi terus menyokong perniagaan mikro, program pembiayaan mikrokredit akan diteruskan dengan tambahan dana sehingga RM1.1 bilion.

Pembiayaan mudah ini akan disediakan oleh AgroBank dan Bank Simpanan Nasional masing-masing berjumlah RM500 juta dan TEKUN sebanyak RM100 juta, ujarnya.

Tambah beliau, ini bermakna ia termasuk peruntukan dana mikrokredit masih tersedia untuk usahawan mikro sebanyak RM3 bilion untuk 2021.

Katanya, institusi koperasi juga disokong dalam tempoh yang sukar ini melalui peruntukan RM20 juta bagi program Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi.

Program ini membolehkan usahawan menjalankan aktiviti ekonomi secara berkumpulan melalui koperasi, termasuk memasarkan produk melalui platform dalam talian serta menggalakkan pembelian barangan di kedai koperasi, katanya. – MalaysiaGazette