Home Nasional Vaksinasi: Subsidi RM30 tambang teksi, e-hailing untuk OKU, warga emas

Vaksinasi: Subsidi RM30 tambang teksi, e-hailing untuk OKU, warga emas

Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan dibantu penjaga untuk mendapatkan vaksin pada Program Imunisasi Kebangsaan Untuk Komuniti OKU Penglihatan di Lembah Klang di Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 04 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Bagi memastikan golongan rentan tidak terkecuali daripada mendapatkan suntikan vaksin, beberapa program di peringkat komuniti akan disegerakan.

Antaranya, pendaftaran untuk vaksinasi serta pemberian subsidi sehingga RM30 ke kos tambang teksi dan e-hailing untuk golongan OKU dan warga emas bagi memudahkan pergerakan mendapatkan vaksin pada hari temu janji mereka, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Perdana Menteri, bagi menggalakkan pelaksanaan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam Swasta (PIKAS) dan sejumlah RM150 juta akan disediakan di bawah inisiatif ini.

Ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi, katanya, kerajaan bersetuju majikan yang berdaftar di bawah Perbadanan Sumber Manusia Berhad (atau HRD Corp), menggunakan baki levi semasa sehingga 10 peratus bagi kos pengurusan dan pembelian vaksin Covid-19.

Ia merupakan inisiatif bagi menggalakkan pelaksanaan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam Swasta (PIKAS) dan mengurangkan tanggungan syarikat.

Tambah beliau, kerajaan juga bersetuju untuk memberi potongan cukai ke atas perbelanjaan merangkumi kos peralatan dan perkhidmatan penyediaan PPV oleh majikan.

Selain itu, potongan cukai ke atas sumbangan Covid-19 melalui projek komuniti atau amal juga diperluaskan meliputi sumbangan kepada PPV, ujarnya.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga bersedia mempertimbangkan kebenaran kepada syarikat untuk beroperasi pada kapasiti penuh sekiranya semua pekerja telah lengkap dua dos vaksin. – MalaysiaGazette