KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) digesa segera menangani kes bunuh diri yang semakin meningkat mutakhir ini.
Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, kerajaan tidak seharusnya berdiam diri dan tidak berbuat apa-apa kerana isu ini akan memberikan kesan kepada masyarakat di masa akan datang.
Lebih-lebih lagi kesan akibat pandemik Covid-19 yang mendalam kepada masyarakat dan negara, katanya.
“Yang membimbangkan kita adalah gangguan kepada pemikiran rakyat yang menyebabkan ada di kalangan rakyat sudah putus asa.
“Mereka sudah putus harapan sehingga membunuh diri, akhir-akhir ini jumlah orang bunuh diri sudah meningkat daripada puluhan kepada ratusan kes,” katanya dalam sidang media secara maya yang diadakan di Facebook beliau, hari ini.
Jelasnya lagi, perkembangan ini sangat membimbangkan seluruh negara dan kerajaan perlu bertindak segera.
“Jumlah yang dilaporkan menakutkan kita, ini semua mereka tidak begitu yakin dengan apa yang disusun oleh kerajaan.
“Kita bimbang kalau tidak cepat-cepat bertindak untuk mengawal perasaan ini dan mengubati mereka yang sakit jiwa, maka ia akan merebak dengan lebih luas,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Tengku Razaleigh turut memohon agar Institusi Raja-raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk masuk campur dalam peningkatan kes bunuh diri di negara ini.
Ujar beliau, sebagai institusi yang dipercayai oleh sekelian rakyat di negara ini, fungsi Yang di-Pertuan Agong yang memayungi rakat amat berketepatan dengan isu ini.
“Saya berharap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-raja Melayu akan memberikan pertolongan supaya tindakan bunuh diri ini dapat ditangani dengan cepat untuk menyekat kenaikan jumlah bunuh diri,” demikian menurut beliau.
Terbaharu, seorang bekas pesakit Covid-19 ditemui maut dalam keadaan tergantung di jejantas di Lebuhraya SILK, Taman Impian Ehsan, Balakong, awal hari ini.
Dalam perkembangan lain, Tengku Razaleigh turut mengajak seluruh rakyat negara ini untuk menandatangani petisyen bagi mendesak supaya sidang Parlimen diadakan segera atau sebelum darurat tamat pada 1 Ogos depan.
Katanya, rakyat perlu bangkit bersama menyokong petisyen berkenaan kerana ia selaras dengan titah YDPA yang mahukan Parlimen bersidang segera demi menjaga kepentingan rakyat.
“Kita mahu Parlimen bersidang sebelum tamatnya Darurat pada 1 Ogos. Jangan kita tunggu sehingga bulan Oktober, lewat daripada Oktober itu bukan dia (tidak seharusnya berlaku).
“Ini (kalau darurat dilanjutkan) bukan lagi soal hendak kepada kuasa, hendak kepada kawal Covid-19 tetapi hendak kawal benda lain yang tidak ada sangkut paut dengan kedudukan rakyat di Malaysia ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette