Home Nasional Rakyat semakin tertekan akibat pandemik Covid-19

Rakyat semakin tertekan akibat pandemik Covid-19

Seorang warga emas dilihat termenung ketika beristirehat di beranda rumahnya ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 07 JANUARI 2019.

KUALA LUMPUR – Rakyat dilihat semakin tertekan dengan penularan wabak Covid-19 yang belum menunjukkan tanda-tanda penurunan kes yang ketara.

Ia ditambah pula dengan laporan media yang memaparkan kes-kes berkaitan cubaan bunuh diri yang didakwa berhubung kait dengan kesempitan hidup yang dialami dan ketidakstabilan emosi yang melanda.

Beberapa orang awam yang ditemui MalaysiaGazette meluahkan kebimbangan mereka tentang situasi yang berlaku sejak akhir-akhir ini terutamanya membabitkan tekanan dalam kalangan masyarakat.

Zobir Osman

Peniaga, Zobir Osman, 56, berkata, kebanyakan mereka yang bekerja sendiri serta para peniaga kecil pasti berdepan saat sukar ketika musim pandemik Covid-19 yang dilihat seperti tidak berkesudahan.

“Sebenarnya yang membimbangkan ini adalah orang-orang yang bukan bekerja di sektor kerajaan lebih-lebih lagi peniaga kecil atau mereka yang bekerja di sektor pembinaan.

“Covid-19 ini sudah lama, jika sebelum ini duduk di rumah selama beberapa bulan memang tiada masalah kerana ketika itu mungkin masih ada lagi wang simpanan tetapi kini rakyat menjadi semakin stress kerana kebanyakannya sudah tiada duit,” katanya.

Cerita Zobir, ada seorang kenalannya yang menetap di pekan Sungai Besi mengambil keputusan untuk pulang ke kampung bersama anak-anaknya selepas hilang punca pendapatan.

Tambah Zobir, walaupun kenalannya itu sudah membuat keputusan untuk pulang ke kampung namun situasi ketika ini tidak mengizinkannya untuk melakukan perjalanan rentas negeri.

“Macam mana hendak balik kampung? Mungkin dia akan dikompaun kerana naik kereta lebih daripada tiga orang, sudah lah tiada duit jadi stress ini lebih kepada faktor kewangan. Pasal kebebasan itu bukan lah masalah utama.

“Begitu juga dengan peniaga kecil, mereka ini tidak berpuas hati apabila tengok jumlah kes tidak menunjukkan angka penurunan yang ketara dengan setiap hari negeri Selangor mencatatkan angka tertinggi serta kluster kilang yang semakin banyak, tapi kilang tidak pula ditutup.

“Jadi di kilang ini kebanyakannya adalah pekerja asing, jadi kita jaga pekerja asing, rakyat pula yang bekerja sendiri ibarat tidak dijaga maka sebab itu mereka marah,” ujarnya dalam nada kecewa.

Menurut Zobir, kebanyakan peniaga turut tertekan apabila perniagaan yang diusahakan mereka semakin merudum lebih-lebih lagi selepas pelanggan tidak dibenarkan untuk makan di kedai.

Stress yang berlaku ini juga menjurus kepada perkara tidak puas hati ketika lockdown, ibarat menunggu buah tidak jatuh. Mereka benarkan kedai makan untuk beroperasi tapi tidak benarkan untuk dine in,” katanya.

Muhammad Nur Iman Roslee

Sementara itu, menurut seorang pekerja swasta, Muhammad Nur Iman Roslee, 32, situasi tekanan yang dihadapi oleh rakyat ketika musim Covid-19 ini disifatkan sebagai kritikal.

Jelas Muhammad Nur Iman, tidak mustahil gara-gara pandemik Covid-19 dan lockdown yang dikuatkuasakan oleh kerajaan menyebabkan lebih ramai rakyat bakal menghidapi masalah kesihatan mental.

“Rakyat Malaysia ketika ini mungkin sudah mula mengalami anxiety, depression dan tekanan hidup dari segi emosi kerana terpaksa berkurung di dalam rumah dan juga kerana kewangan.

“Bila situasi sekarang lockdown dilanjutkan memang menjadi perkara yang akan mengganggu emosi rakyat Malaysia dan menjadikan mereka tertekan serta terbeban dengan apa yang berlaku,” katanya. – MalaysiaGazette