SUDAH hampir 2 tahun kita hidup bersama pandemik covid 19. Walaupun pada fasa awal negara kita telah mampu menurunkan kes dan membuka semula aktiviti -aktiviti seluruh negara terutamanya yang berkaitan dengan ekonomi namun kini kita berada dalam keadaan statik yang mana kes jangkitan covid 19 masih tidak menurun walaupun PKP sudah berjalan hampir sebulan. Keadaan ekonomi negara kita juga tidak dapat dipulihkan sepenuhnya selagi kes tidak berkurang dan peratus penerima vaksin tidak mencapai sekurang-kurangnya 80% populasi negara.
Oleh itu langkah kerajaan masa kini adalah mewujudkan sebanyak-banyaknya pusat pemberian vaksin (PPV) supaya vaksin dapat diberi kepada lebih ramai rakyat dan kita cepat mencapai imuniti kelompok. Sudah banyak PPV yang dibuka di hospital swasta, dewan orang ramai dan masjid yang bukan sahaja diuruskan oleh KKM malah berkolaborasi dengan badan bukan kerajaan ( NGO ).
Pusat-pusat pemberian vaksin ini memerlukan ramai sukarelawan untuk menguruskan banyak perkara seperti temujanji, merekod data-data berkaitan, penerangan dan persetujuan, pemberian vaksin serta pemantauan selepas vaksin. Agak mustahil untuk mengharapkan doktor dan petugas kesihatan di hospital, pusat kesihatan atau klinik kesihatan kerana mereka perlu fokus kepada perawatan pesakit sejak pandemik ini melanda. Maka inilah peluang untuk kita beramai-ramai mendaftarkan diri sebagai sukarelawan bagi membantu pusat-pusat vaksin ini supaya pemberianvaksin dapat diberi dalam keadaan tenang dan teratur.
Sukarelawan (atau sukarelawati untuk wanita) bermaksud seseorang yang melakukan sesuatu dengan sukarela, yang ingin memberikan khidmat dan tidak mempunyai kelayakan tertentu. Menjadi sukarelawan adalah satu tugas yang dilakukan tanpa memerlukan pangkat atau kemahiran tertentu.
Walaupun kita bos, pengarah suatu jabatan, CEO sebuah syarikat besar, professor di sebuah universiti, doktor pakar, peguam, jurutera, apabila kita turun sebagai sukarelawan kita adalah sama. Kita memberikan khidmat kepada yang memerlukan dan menghulurkan bantuan dan menyumbangkan tenaga kita. Segala kepandaian dan kepakaran yang kita ada perlu ditinggalkan dahulu supaya kita dapat meyumbang mengikut keperluan dari pihak yang menguruskan.
Kebiasaan khidmat kesukarelawanan ini tidak memerlukan dana daripada individu sukarelawanan kerana dari awal lagi dana telah dikumpulkan hasil sumbangan warga yang prihatin. Yang lebih sukar untuk dikorbankan adalah masa. Masa bekerja, masa berehat dan bersama keluarga , itulah yang perlu dikorbankan untuk turun sebagai sukarelawan. Bagi penjawat awam, cuti tahunan yang hanya terhad lebih kurang sebulan setengah harus dikorbankan sedikit untuk turun menjadi sukarelawan.
Bagi pekerja swasta pula, masa untuk bersama pelanggan dan mendapatkan imbuhan kewangan, terpaksa dikorbankan. Ini belum lagi diambil kira masa bersama keluarga dan rakan-rakan. Namun mungkin inilah satu hikmah pandemik ini. Ramai orang yang mempunyai masa yang sangat banyak di rumah kerana PKP. Ada yang menjadi sangat stres kerana tidak dapat keluar dan bekerja seperti dulu.
Daripada kita duduk di rumah dan melayan berita-berita tidak benar di dalam group
wassap/FB/twitter atau lebih rugi jika menjadi ‘keyboard warrior’ dan mendapat dosa kering dengan menyebarkan fitnah serta berita tidak benar, inilah masa yang sangat tepat untuk bersama-sama mendaftarkan diri menjadi sukarelawan dan memberi khidmat apa yang perlu kepada masyarakat.
Tidak perlu risau memikirkan apakah yang kita boleh bantu di lapangan. Apabila iklan-iklan tentang keperluan sukarelawan dikeluarkan, pengurus setiap organisasi tersebut telah pun memikirkan tempat yang sesuai untuk setiap individu.
Untuk pusat-pusat pemberian vaksin , sudah pastilah tugas-tugas seperti memberi vaksin dan mengambil persetujuan dilakukan oleh petugas kesihatan yang berkelayakan. Untuk ini juga petugas kesihatan seperti doktor, jururawat dan pembantu perubatan turut diperlukan untuk menjadi sukarelawan. Mereka juga turun bukan atas kapasiti pangkat dan kepakaran, tetapi sebagai petugas kesihatan secara umum.
Tugas seperti ini amatlah bagus untuk mendidik hati kita supaya tidak memikirkan pangkat dan kelulusan yang ada sebaliknya mampu menanam sifat tawaduk dan
merasakan diri setiap orang adalah sama. Apa yang membezakan kita adalah sifat takwa.
Firman Allah dalam surah Al-hujurat :13 “ Wahai manusia , sesungguhnya Kami ciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku untuk saling kenal-mengenal, sesungguhnya yang paling mulia diantara kamu adalah orang-orang yang bertakwa.”
Maka marilah kita beramai-ramai mendaftarkan diri sebagai sukarelawan. Marilah kita beramai-ramai berebut pahala dengan memberikan khidmat dengan ikhlas kerana Allah. Satu perasaan bahagia dan puas yang sukar digambarkan akan dirasai apabila dapat memberikan khidmat kepada orang lain.
Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda “ Sesungguhnya tangan diatas ( yang memberi ) lebih baik daripada tangan yang dibawah ( yang menerima )”. Riwayat Al-Bukhari.
Dalam hal ini kita memberikan tenaga dan masa kita secara percuma. Tanpa wang ringgit pun kita mampu memberikan khidmat. Semoga dengan ramainya sukarelawan yang turun padang, maka semakin cepatlah rakyat negara ini dapat divaksinkan dan memperolehi imuniti kelompok. Semoga kita semua diberi kesabaran dalam jihad melawan virus covid 19 ini.
Ms ( Dr Afizah Salleh )
Timbalan Ketua Jabatan Hal Ehwal Wanita , WARAK ( PAPISMA )
Pakar Bedah Am, Hospital Pakar An-nur
Dr Azirawati binti Ismail
Ketua Jabatan Hal Ehwal Wanita, WARAK (PAPISMA)
Pakar Perubatan Kecemasan.