Home Dunia Rakyat Korea Utara bimbang Kim Jong-un kurus

Rakyat Korea Utara bimbang Kim Jong-un kurus

Kim Jong-un. foto Agensi

PYONGYANG – Rakyat Korea Utara bimbang melihat susuk tubuh Kim Jong-un semakin susut.

Saiz tubuh Kim dikatakan susut berbanding beberapa tahun lalu selepas beliau muncul di televisyen baru-baru ini.

Kim jarang muncul di khalayak, tambahan pula imejnya dikawal ketat.

Terdapat banyak desas-desus mengenai kesihatan pemimpin utama Korea Utara itu yang telah sedekad berkuasa.

Bagaimanapun tiada siapa yang mengetahui tahap kesihatan Kim memandangkan beliau cukup berahsia.

Baru-baru ini, Korea Central Television memaparkan dua gambar Kim yang mencetuskan kebimbangan rakyat terhadap tahap kesihatan beliau.

Klip pertama menunjukkan Kim tiba pada satu acara konsert dengan tubuhnya yang sangat kurus.

Manakala klip kedua memaparkan wawancara seorang warga Pyongyang yang tidak disebutkan namanya memberitahu Central TV: “Melihat tubuh Kim yang kurus seperti itu, kita semua menjadi sangat sedih.

“Semua orang mula menangis,” katanya.

Analisis oleh laman web NK News pula menunjukkan tali pada jam tangan yang dipakai oleh Kim diikat lebih ketat berbanding sebelum ini, sekali gus menunjukkan beliau mengalami penurunan berat badan.

Isu kesihatan Kim pernah menjadi tanda tanya apabila beliau ‘hilang’ selama 40 hari pada tahun 2014.

“Kehilangan’ beliau secara tiba-tiba mencetuskan spekulasi beliau sedang sakit atau sudah mati.

Bagaimanapun, beliau tiba-tiba muncul dengan bertongkat – mendorong spekulasi beliau telah pulih selepas menjalani pembedahan pergelangan kaki.

Ketiadaan Kim dalam radar media secara berkala dipercayai ada kaitan dengan rawatan perubatan.

Kejadian sama berlaku pada tahun 2020, Kim muncul dengan tanda di pergelangan tangannya – mungkin disebabkan prosedur perubatan.

Kim, dipercayai berusia 37 tahun, dikatakan seorang perokok tegar dan peminum.

Peningkatan berat badannya sejak bertahun-tahun menyebabkan para pemerhati membuat spekulasi beliau mungkin menderita penyakit seperti diabetes dan gout.

Namun tahap kesihatannya tidak pernah disahkan secara terbuka. – MalaysiaGazette