Home Nasional PEMULIH bukti keprihatinan kerajaan penuhi keperluan rakyat – Razali

PEMULIH bukti keprihatinan kerajaan penuhi keperluan rakyat – Razali

Senator Datuk Razali Idris.

KUALA LUMPUR – Pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bernilai RM150 bilion menunjukkan sikap bertanggungjawab kerajaan kepada keperluan rakyat ekoran penularan wabak Covid-19.

Pengerusi Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris menyanjung tinggi ilham kepimpinan negara yang diketuai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sentiasa merancang pakej perlindungan, pemerkasaan serta pemulihan demi kesejahteraan rakyat dan negara.

“Ini suatu pengorbanan besar kerajaan demi rakyat jelata untuk memastikan setiap agenda prihatin rakyat direalisasikan, kelangsungan perniagaan terus disokong serta usaha meningkatkan vaksinasi dilipatgandakan supaya tercapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun 2021.

“Tidak usahlah pihak tertentu berebut-rebutkan kuasa, jawatan atau peralihan kepimpinan politik pada waktu susah payah rakyat jelata serta kepayahan negara yang masih mendepani pandemik Covid—19, yang akhirnya merugikan rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Razali, kepentingan pemulihan ekonomi negara agenda paling penting. Bagi mencapai pemulihan itu, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara berharap pelaksanaan meningkatkan vaksinasi digerakkan secara tuntas dan komprehensif.

Sehubungan itu, pihaknya juga mendapati semua golongan rakyat Malaysia termasuk B40, M40 dan T20 tidak tercicir dalam pelaksanaan PEMULIH.

“Adalah diharapkan sistem penyampaian dan agihan seperti kemudahan pengeluaran baharu daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu i-Citra, kemudahan moratorium automatik selama enam bulan, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas COVID-19 dan Bantuan Bakul Makanan adalah sifar birokrasi,” katanya.

Selain itu, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara juga berharap peruntukan RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen termasuk pembangkang untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas di kawasan masing-masing tidak mengecualikan juga Ahli Dewan Negara.

Menerusi PEMULIH, katanya, pastinya komuniti perniagaan dan usahawan menarik nafas lega dengan beberapa pendekatan yang lebih mesra diambil termasuk mengurangkan kos tanggungan majikan, menyokong usaha digitalisasi, memberikan kemudahan bantuan kewangan dan insentif percukaian, menyediakan fasiliti pembiayaan dan meneruskan insentif penggajian.

Langkah berhemah kerajaan menyediakan bayaran tambahan di bawah Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 serta Program Subsidi Upah (PSU) 4.0 yang dijangka memanfaatkan lebih 2.5 juta pekerja juga dialu-alukan.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Isi rumah B40, M40 dapat Bantuan Khas Covid-19