LONDON – S&P Global menurunkan unjuran pertumbuhan beberapa ekonomi utama Asia termasuk India, Filipina dan Malaysia.
Bagaimanapun, firma penarafan ini meningkatkan unjuran pertumbuhan China dan Afrika Selatan serta sebahagian besar Amerika Latin.
Dalam penilaian itu, S&P mengunjurkan pertumbuhan India merosot menjadi 9.5% berbanding 11% sebelum ini kerana wabak Covid-19.
Manakala Filipina menurun kepada 6% daripada 7.9% dan Malaysia turun kepada 4.1% berbanding 6.2 %.
Sebaliknya, China diunjurkan naik sehingga 8.3% berbanding 8%, Brazil melonjak kepada 4.7% berbanding 3.4%, Mexico kepada 5.8% daripada 4.9% sementara di Afrika Selatan, Poland dan Rusia masing-masing meningkat kepada 4.2%, 4.5% dan 3.7% daripada 3.6%, 3.4% dan 3.3%.
“Risiko utama yang dihadapi oleh ekonomi-ekonomi baharu sedang berkembang (EM) ini adalah proses vaksinasi yang lambat daripada yang dijangkakan,” kata ahli ekonomi S&P dalam laporan terbaharu.
Menurutnya, pandemik di EM hanya akan reda apabila vaksinasi “mencapai tahap yang konsisten dengan imuniti kelompok”.
Bagi negara-negara yang sedang berkembang di Asia, vaksin kini diberikan pada kadar 0.2 dos setiap 100 orang sehari.
Pada kadar ini, S&P menganggarkan negera-negara ini memerlukan 23 bulan lagi untuk mencapai 70% populasi divaksinasi sepenuhnya.
Risiko besar kedua yang bakal dihadapi oleh ekonomi baharu muncul ini ialah jika berlaku pertumbuhan dan inflasi Amerika Syarikat (AS) kukuh hingga menyebabkan kawalan ketat dasar monetari yang menyaksikan kenaikan dolar dan menjadikan pembayaran hutang dalam mata wang AS lebih mahal.
“Walaupun pembuat dasar EM tidak dapat mengawal dinamik inflasi AS dan tindak balas polisi, mereka dapat menerapkan langkah-langkah untuk mempengaruhi pertumbuhan domestik.
Dalam konteks pandemik sekarang, langkah utama adalah meningkatkan vaksinasi,” kata S&P. – MalaysiaGazette