Home Seni Hidup MBJB tempatkan gelandangan di pusat penempatan sementara

MBJB tempatkan gelandangan di pusat penempatan sementara

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari Daud

JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan menempatkan seramai 158 golongan gelandangan di dua penempatan sementara bagi memastikan mereka daripada dijangkiti Covid-19.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari Daud  berkata, seramai 38 orang daripadanya  ditempatkan di Anjung Singgah, Taman Nong Chik dan 120 orang lagi ditempatkan di Pusat Perlindungan Wanita, Taman Perling.

“Kami akan memberi tumpuan untuk melindungi golongan gelandangan ini yang berisiko tinggi dari terdedah kepada jangkitan wabak Covid-19, ekoran itu perancangan yang saya katakan tadi akan dilaksanakan.

“Sebanyak RM103,600 secara bulanan dan RM35,000 secara one-off bagi membantu golongan gelandangan yang akan ditempatkan di Pusat Perlindungan Wanita Taman Perling,” katanya berucap dalam mesyuarat penuh MBJB di Bangunan MBJB hari ini.

Adib berkata, kos perbelanjaan melibatkan penyediaan keperluan makan dan minum tiga kali sehari, peralatan pembersihan diri, keperluan cadar, sarung bantal dan tuala dan elaun harian petugas.

Menurut rekod gelandangan yang telah berdaftar dengan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) adalah seramai 229 orang.

Beliau berkata, mengenai Pusat Transit Gelandangan Bangsa Johor di kawasan tanah lapang di Taman Larkin Perdana.

Bangunan transit dua tingkat itu akan dilengkapan antaranya ruang pejabat, bilik rawatan, bilik penginapan, dewan makan, surau, bilik sakit dan isolasi.

“Bangunan transit tersebut direka bentuk untuk menampung sejumlah 200 gelandangan dalam satu-satu masa selain dilengkapi dengan pondok pengawal dan hiasan landskap.

“Memandangkan kita masih dalam tempoh penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial, projek pembinaan pusat transit gelandangan ini dijangka akan bermula pada Ogos 2021 dan dijangka siap pada Julai 2022,” katanya.- MalaysiaGazette