Home Dunia Hong Kong larang kemasukan semua penerbangan dari UK

Hong Kong larang kemasukan semua penerbangan dari UK

Penumpang dari UK tidak dibenarkan masuk ke Hong Kong mulai 1 Julai ini. foto Agensi

HONG KONG – Hong Kong menangguhkan semua penerbangan dari United Kingdom (UK) dalam usaha mengekang penularan varian Delta Covid-19.

Larangan tersebut akan berkuatkuasa pada 1 Julai.

Larangan itu dibuat kerana UK diklasifikasikan sebagai negara sangat berisiko tinggi – rating tertinggi Hong Kong bagi pengembaraan pandemik.

Arahan ini juga berlaku di tengah-tengah ketegangan politik antara China dan Barat akibat tindakan keras terhadap perbezaan pendapat di Hong Kong.

Larangan itu bermaksud individu yang menghabiskan lebih dari dua jam di Britain tidak akan dibenarkan menaiki penerbangan ke Hong Kong dari lapangan terbang mana-mana pun.

Pihak berkuasa kota itu mengatakan keputusan berkenaan berdasarkan lonjakan virus varian Delta di UK.

Terdapat kira-kira lapan penerbangan tanpa henti setiap hari dari UK ke Hong Kong, semuanya terbang dari London.

Bagaimanapun, penerbangan dari Hong Kong ke UK tidak terjejas dengan larangan tersebut.

Walaupun kadar vaksinasi tinggi, UK ketika ini menyaksikan jumlah kes harian baharu tertinggi di Eropah.

Sebilangan besar jangkitan baharu dikaitkan dengan varian Delta, yang pertama kali dikesan di India.

Hong Kong bagaimanapun mengesahkan varian Delta tempatan yang pertama dikesan hanya pada minggu lalu, mengakhiri 16 hari kes sifar kes jangkitan tempatan.

Bandar ini telah melaksanakan penutupan sempadan yang paling ketat di dunia sejak tahun 2020, berjaya mengekang jumlah jangkitan ke paras terendah dalam keseluruhan kes Covid-19. – MalaysiaGazette