Home Nasional Dinding rumah runtuh sebelum hanyut dalam banjir

Dinding rumah runtuh sebelum hanyut dalam banjir

Keadaan rumah Mohd Khai akibat banjir di Kampung Kubur Mukim 17 Batu Feringghi di sini.

GEORGE TOWN  – “Walaupun perit, namun saya dan keluarga bersyukur tiada ahli keluarga cedera dihempap runtuhan dinding akibat arus banjir,” jelas mangsa banjir di Kampung Kubur Mukim 17, Batu Feringghi, di sini.

Menceritakan kejadian, Mohd Khai Jassin, 54, berkata, dalam kejadian jam 8 pagi itu, dia dan isteri sedang menyelamatkan barang lain dalam rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi runtuhan.

Jelasnya, mereka sekeluarga bergegas untuk melihat dari mana bunyi runtuhan tersebut sebelum mendapati dinding bilik tidur utama kediaman tersebut runtuh akibat arus banjir.

“Kami tergamam apabila melihat struktur dinding sepanjang 15 meter itu runtuh, namun mujur tiada ahli keluarga lain di bilik berkenaan.

“Dalam kejadian itu, kami hanya sempat menyelamatkan beg berisi dokumen penting sebelum menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Difahmamkan, air setinggi dua meter memasuki kediaman pasangan suami isteri itu selepas hujan lebat lebih satu jam pagi tadi.

Keadaan rumah Mohd Khai akibat banjir di Kampung Kubur Mukim 17 Batu Feringghi di sini.

Mengulas lanjut, Mohd Khai berkata, ini merupakan kali kedua struktur dinding berkenaan runtuh akibat banjir dan arus deras.

“Setiap kali hujan lebat, kami diselubungi kebimbangan dan tidak lena tidur kerana risau keselamatan nyawa serta harta benda.

“Masalah banjir itu sudah lama berlaku namun keadaan kejadian kali ini adalah yang paling buruk.

“Tidak tahu berapa lama lagi kami akan berhadapan dengan masalah sebegini sedangkan isu ini telah diadukan kepada pihak berwajib,” jelasnya.

Bagi penduduk, Hamid Sultan, 59, pula, ketika kejadian, dia dan ahli keluarganya diselamatkan penduduk ke tempat tinggi.

Hamid.

Kata Hamid, banjir itu dipercayai berpunca daripada struktur yang dibina di saliran air berhampiran dan ia sudah dimaklumkan kepada pejabat wakil rakyat.

Keadaan banjir di Kampung Kubur Mukim 17 Batu Feringghi di sini hari ini.

“Struktur berkenaan menjadi penghalang menyebabkan air melimpah di kawasan ini, sehubungan itu kami berharap perkara berkenaan dapat di atasi segera,” katanya lagi.

Sementara itu Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Timur Laut, Kapten (PA) Muhammad Aizat Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung banjir itu pada jam 9 pagi.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati air meningkat setinggi dua meter dan mereka membantu menyelamatkan penduduk dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang.

“Sebanyak 30 rumah yang menempatkan 200 penduduk di situ terjejas dan air mula surut kira-kira jam 12.30 tengah hari.

“APM turut menyampaikan kit bantuan makanan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada mangsa,” katanya kepada pemberita hari ini.  – MalaysiaGazette