Home Nasional Penghantar makanan maut rempuh belakang lori rosak

Penghantar makanan maut rempuh belakang lori rosak

Penghantar makanan maut selepas merempuh belakang sebuah lori dalam kejadian di Jalan Sungai Buloh - Kuala Selangor hala Sungai Buloh hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang penghantar makanan maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh bahagian belakang sebuah lori dalam satu kejadian di Jalan Sungai Buloh – Kuala Selangor hala Sungai Buloh hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.31 petang itu, mangsa, Mohd Zaharin Zulkefly, 37, yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut jurucakap trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, ketika kejadian, pemandu lori jenis Isuzu yang dipandu seorang lelaki berusia 46 tahun sedang memberhentikan kenderaannya di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan.

“Secara tiba-tiba mangsa yang datang dari arah belakang lorong sama dipercayai telah melanggar bahagian belakang lori itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Jurucakap itu berkata, proses bedah siasat akan dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya selepas keputusan saringan Covid-19 diperolehi.

Tambahnya lagi, saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan berhubung kemalangan maut tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette