IBARAT ditelan mati emak, diluah mati bapa. Inilah dilema yang dihadapi oleh sebahagian masyarakat kita pada hari ini yang masih lagi sukar membuat pilhan sama ada untuk mengambil vaksin Covid-19 atau sebaliknya. Kegusaran dan kebimbangan mereka ini ditambah serta diburukkan lagi dengan tindakan tidak bertanggungjawab pihak-pihak tertentu yang sengaja menyebarkan maklumat salah atau khabar angin yang tidak tepat berkaitan vaksin Covid-19.
Akibatnya, rasa bimbang dan takut mula menguasai pemikiran sebilangan masyarakat dan menyebabkan mereka enggan hadir ke Pusat Pemberian Vaksin walaupun telah memperoleh janji temu daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk divaksinasi. Tindakan golongan ini yang tidak hadir dan tidak memaklumkan tentang ketidakhadiran mereka hanya akan menyukarkan pihak pengurusan dan menyebabkan pembaziran
sekiranya vaksin tersebut telah dikeluarkan daripada peti sejuk beku khas. Keadaan yang berlaku ini juga sekiranya tidak ditangani dengan segera, sudah pasti akan menggagalkan usaha pihak kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk melindungi masyarakat dan mencapai herd immunity atau imuniti kelompok dalam masa terdekat.
Umum sedia maklum bahawa sehingga hari ini, wabak Covid-19 yang mula melanda negara kita sejak kes pertama dikesan di negara ini pada Januari tahun 2020 masih lagi tidak menampakkan tanda-tanda kesudahan bahkan menjadi lebih merbahaya daripada sebelumnya. Kemunculan pelbagai varian baharu koronavirus yang lebih ganas telah meletakkan setiap individu dalam masyarakat mempunyai risiko yang amat tinggi untuk dijangkiti dan akan menyebabkan kesan yang lebih serius berbanding sebelumnya sekiranya dijangkiti.
Walaupun pelbagai Prosedur Operasi Standard atau SOP telah digariskan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia bagi membendung penyebaran wabak ini termasuk penguatkuasaan undang-undang yang lebih diperketatkan, namun kes jangkitan dan kematian di kalangan orang ramai terus merekodkan peningkatan saban hari dengan kadar yang membimbangkan. Kerajaan dalam mendepani situasi sukar ini, tidak mempunyai
banyak pilihan. Keutamaan diberikan oleh kerajaan untuk menjaga nyawa dan keselamatan rakyat walaupun terpaksa berdepan dengan tekanan dan suasana ekonomi semasa.
Pada 1 Jun 2021, negara sekali lagi terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh atau total lockdown
bagi mengekang dan melandaikan lekuk jangkitan Covid-19. Persoalannya, sampai bilakah Perintah Kawalan Pergerakan Penuh ini perlu dilaksanakan? Adakah apabila jangkitan telah berjaya
dilandaikan dan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh ditarik semula, kes akan kembali meningkat dan kita sekali lagi akan dikenakan semula perintah kawalan pergerakan penuh? Justeru jalan penyelesaian yang lebih efektif perlu diambil agar pandemik ini dapat segera ditamatkan.
Tambahan pula, semua sudah sedia maklum bahawa suasana yang sedang dihadapi ini sekiranya terus menerus tanpa ada sebarang kesudahan sudah akan pasti memberi kesan tidak baik kepada kehidupan. Ramai yang sudah lesu dan terjejas kehidupan mereka dengan keadaan yang berlaku dan pada masa yang
sama, sampai bilakah tugas untuk mengekang wabak ini perlu digalas oleh para petugas barisan hadapan?
Penemuan vaksin bagi mengurangkan risiko akibat jangkitan virus Covid-19 sekaligus mengekang penularannya memberi sinar baru kepada masyarakat dunia dalam menghadapi peperangan
melawan pandemik ini. Bermula sekitar hujung tahun 2020, setiap negara berlumba-lumba untuk mendapatkan vaksin bagi rakyat mereka dan ada sebahagian negara telah pun kembali semula kepada situasi normal sepertimana keadaan sebelum pandemik ini melanda setelah sebahagian besar rakyat mereka divaksinasi. Dalam usaha mendapatkan vaksin ini, negara kita juga tidak terkecuali.
Pihak kerajaan, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dan terpaksa bersaing dengan negara-negara yang jauh lebih maju dan berpengaruh, sentiasa tetap berusaha keras dan meletakkan keutamaan untuk mendapatkan vaksin buat rakyat agar tidak seorang pun terkecuali daripada menerima vaksin ini. Melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksid Covid-19
(JKJAV), pelbagai perancangan, usaha dan strategi diatur dengan kemas dalam usaha mempastikan program imunisasi ini berjalan dengan lancar, selamat, teratur dan berkesan dalam usaha
membendung serta menamatkan pandemik Covid-19.
Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin di dalam Dokumen Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan telah menegaskan strategi kerajaan adalah untuk memastikan sebanyak mungkin penduduk di Malaysia menerima vaksin bagi menyelamatkan nyawa semua dan vaksin ini juga akan diberikan secara percuma kepada semua warganegara dan bukan warganegara Malaysia. Pada masa yang sama, pelbagai maklumat mengenai vaksin ini juga disebar luas kepada orang ramai melalui pelbagai platform dalam usaha memberikan kefahaman
tentang kepentingan pengambilan vaksin Covid-19.
Walaupun terdapat banyak kempen kesedaran dibuat oleh pihak kerajaan, namun apa yang menyedihkan, terdapat golongan tertentu yang menentang dengan menakut-nakutkan orang ramai
supaya tidak mengambil vaksin Covid-19 ini. Pelbagai tomahan yang tidak dapat dipastikan sejauhmana kesasihan serta sumbernya disebarkan kepada orang ramai dengan tujuan agar mereka tidak mengambil vaksin tersebut.
Sudahlah ‘berperang’ dengan wabak Covid-19, pihak kerajaan kini
juga terpaksa ‘berperang’ bagi menangani golongan ini juga pada masa yang sama. Perkara utama yang wajib diketahui oleh setiap individu dalam masyarakat adalah pemberian vaksin bagi mencegah wabak Covid-19 ini tidaklah dilakukan dengan sewenang-wenangnya oleh pihak kerajaan. Dokumen Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan menyatakan bahawa vaksin adalah merupakan produk yang sentiasa dipantau dalam aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanannya. Setakat ini vaksin Covid-19 untuk Malaysia diberikan kelulusan bersyarat berdasarkan pematuhan piawaian ketat melalui penilaian data-data saintifik, klinikal dan teknikal.
Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bertanggungjawab untuk menilai setiap setiap vaksin yang hendak didaftarkan di Malaysia. Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) akan meluluskan penggunaan vaksin tersebut untuk Malaysia
berdasarkan hasil penilaian NPRA. Seterusnya pula, setiap kategori vaksin yang akan digunakan di Malaysia dipantau daripada aspek kepatuhan mengikut Piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Selepas vaksin mula diberikan kepada penduduk di Malaysia, pemantauan aduan kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) akan dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.
Umat Islam tidak seharusnya berasa ragu tentang hukum penggunaan vaksin covid-19 ini. Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) ke-10 telah memutuskan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus bagi melindungi manusia manusia daripada penyakit berbahaya dan bukanlah suatu perkara yang asing daripada perspektif hukum Syarak.
Selaras dengan keputusan ini, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan juga telah memutuskan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan wajib diambil oleh mereka yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan. Keputusan ini sudah pastinya dibuat berdasarkan dalil-dalil syarak dan mereka yang arif dan berotoriti dalam bidang ini. Perlu difahami, apa yang dilakukan oleh pihak kerajaan di dalam melaksanakan program vaksinasi ini adalah
merupakan suatu kepentingan yang asasi atau ad-dharuriyyat. Kepentingan asasi atau ad-dharuriyyat sebagaimana yang telah dijelaskan oleh para fuqahak adalah merupakan keperluan-
keperluan utama bagi menjamin kelangsungan hidup duniawi dan ukhrawi dan ianya terangkum dalam objektif utama syariah atau Maqasid al-Syariah di dalam menjaga nyawa (Hifz al-Nasl).
Keputusan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan ini juga adalah bertepatan dengan doktrin Siasah Syari’yyah atau kepimpinan Islam berlandaskan penjagaan kepentingan atau maslahah umum. Hukum penggunaan vaksin di dalam menjaga nyawa rakyat ini juga menepati pandangan para fuqahak yang menetapkan bahawa pembinaan atau penetapan sesuatu hukum perlu melengkapi tiga syarat utama iaitu; ianya merupakan suatu kepentingan yang perlu bagi masyarakat seluruhnya dan bukan kepentingan segelintir tertentu sahaja; ianya harus merupakan suatu kepentingan yang jelas dan tidak diragui oleh pihak yang berkepakaran atau yang berotoriti yang menilainya; dan yang
ketiga ianya tidak bercanggah dengan tujuan asas syariat Islam atau dengan mana-mana dalil atau nas yang terdapat di dalam al-Quran, al-Sunnah atau dengan mana-mana Ijmak.
Dengan samasekali tidak menafikan al-Quran itu sendiri sebagai penawar atau syifa’ serta kaedah perubatan dan rawatan yang telah dinyatakan di dalam al-Quran dan al-Sunnah, Rasulullah SAW juga menyarankan agar usaha dan penyelidikan berterusan perlu dan wajib dilakukan bagi mendapatkan penawar atau ubat bagi setiap penyakit. Dalam erti kata lain, umat Islam tidak boleh berserah begitu sahaja. Kaedah ini termasuklah menggunakan doa-doa tertentu yang diambil daripada al-Quran dan al-Hadith serta amalan as-salafussoleh. Bahan-bahan tertentu yang halal di sisi syarak juga sama sekali tidak dilarang untuk digunakan di dalam perubatan dan rawatan.
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Jabir RA, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: ‘Setiap penyakit itu ada
ubatnya, maka apabila dijumpai ubat kepada sesuatu penyakit itu, nescaya disembuhkan dengan izin Allah Subhanahu wataala’ (Hadis Riwayat Muslim). Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh Usamah bin Syarik RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: ‘Berubatlah kalian wahai hamba-hamba Allah, kerana Allah tidak menciptakan penyakit kecuali diciptakan bersama ubatnya, melainkan suatu penyakit sahaja iaitu penyakit tua’. (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Kedua-dua hadis ini menjelaskan ikhtiar bagi mencari dan mendapatkan penawar bagi sesuatu penyakit itu adalah selari dengan tuntutan Islam dan membiarkan diri tededah kepada kesakitan atau sebarang penyakit atau mudarat adalah merupakan suatu kezaliman serta bercanggah dengan ajaran Islam. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud: ‘…dan janganlah kamu jatuhkan dirimu ke dalam kebinasaan…’.
Melihat kepada peningkatan bilangan kes sporadik seperti yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan pihak media, adalah seakan mustahil untuk setiap daripada kita akan terus
kekal selamat daripada djangkiti oleh virus koronavirus ini tanpa mengambil sebarang langkah penyelesaian seperti yang disarankan oleh pihak kerajaan. Sampai bila kita sanggup untuk terus kekal di rumah tanpa sebarang interaksi dengan orang lain?
Perlu diingat bahawa risiko untuk terkena jangkitan tetap akan ada. Lambat laun kita akan dijangkiti juga akhirnya dan menjadi asbab menjangkiti orang lain pula. Dengan pengambilan vaksin, walaupun terkena jangkitan Covid-19, kesannya akan dapat dikurangkan dan nyawa dapat diselamatkan. Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas pernah bersabda yang maksudnya: ‘Tidak ada mudarat dan tidak boleh memudaratkan’. Berdasarkan hadis dan memahami hadis ini, fuqahak atau para sarjana Islam mendatangkan beberapa kaedah yang mengharuskan kemudaratan yang lebih berat dihapuskan atau dihilangkan dengan kemudaratan yang lebih ringan.
Antaranya ialah kaedah-kaedah Fekah seperti ‘Kemudaratan mesti dihilangkan’; ‘Kemudaratan atau bahaya lebih berat dihilangkan dengan melaksanakan kemudaratan yang lebih ringan’; ‘Apabila bertemu dua tegahan atau bahaya atau kerosakan dan tidak mungkin dapat keluar daripada keduanya, wajib melaksanakan yang lebih rendah daripadanya’; ‘Apabila terdapat pertentangan antara dua kemudaratan, dihindarkan lebih berat dan dilaksanakan yang lebih ringan’; Harus melaksanakan kemudaratan lebih ringan di antara dua kemudaratan’; dan ‘ Dipilih yang paling ringan diantara dua keburukan’.
Kaedah-kaedah Fekah yang didatangkan oleh para fuqhak ini adalah berdasarkan pemahaman mendalam mereka terhadap hadis Rasullullah SAW yang menjelaskan bahawa dalam menghadapi keadaan wujudnya kemudaratan atau kemudataran itu datang secara serentak dan bersama, maka seseorang itu
hendaklah membuat penilaian dan perbandingan di antara kemudaratan-kemudaratan tersebut menurut berat atau ringannya serta kecil atau besarnya kemudaratan yang akan berlaku. Seterusnya hendaklah dia menempuhi kemudaratan yang paling ringan atau paling kecil untuk menghindarkan kemudaratan yang lebih berat dan lebih besar. Maka, dalam konteks menghadapi kemudaratan virus Covid-19 pada hari ini, tidak mengambil vaksin akan menyebabkan seseorang itu berhadapan dengan mudarat yang lebih besar dan lebih berat.
Al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’e atau lebih dikenali dengan Imam al-Syafi’e di dalam kitab karangan beliau Al-Umm ada menyebut bahawa: ‘…dan sekiranya seseorang itu meminum ubat yang di dalam ubat itu ada mengandungi sebahagian
racun, namun dengan meminum ubat itu kesembuhan daripada penyakit yang dihidapi akan terhasil, maka tidaklah dia berdosa dengan meminumnya (ubat tersebut), kerana dia tidak meminum ubat tersebut dengan tujuan untuk memudaratkan dirinya atau menghilangkan kewarasan fikirannya walaupun dengan meminum ubat tersebut akan menghilangkan kewarasannya berfikir’.
Sebagai kesimpulan, pengambilan vaksin Covid -19 pada ketika ini seperti yang disarankan oleh pihak kerajaan adalah merupakan jalan penyelesaian terbaik untuk keluar daripada pandemik ini bagi membolehkan kita menjalani semula kehidupan seperti biasa. Keengganan mengambilnya hanya akan meletakkan diri dan orang di sekeliling berada dalam risiko untuk dijangkiti wabak yang boleh menyebabkan kematian. Islam tidak mengajar umatnya supaya berserah begitu sahaja tanpa sebarang ikhtiar.
Bahkan dalam keadaan tertentu, seperti mana yang telah dibincangkan sebelum ini, apabila berhadapan dengan situasi dua kemudaratan, hendaklah dihindarkan kemudaratan yang
lebih besar. Dalam konteks ini, tidak mengambil vaksin Covid-19 akan mengundang kemudaratan yang lebih besar berbanding mengambilnya. Apatah lagi pihak kerajaan amat berhati-hati dalam memastikan vaksin yang dipilih untuk diberikan kepada rakyat adalah benar-benar selamat.
Bagi golongan yang suka menyebarkan berita tidak benar berkaitan vaksin Covid-19, hentikanlah perbuatan tersebut kerana tindakan sedemikian hanya akan merisikokan nyawa orang lain. Usahlah hanya mengkritik tanpa memberi cadangan praktikal yang membina. Bagi yang masih ragu-ragu atau
tidak jelas, rujuklah kepada mereka yang berkepakaran atau ahlinya. Ingatlah Firman Allah Subhanahu Wataala di dalam Surah An-Nahl ayat 43 yang maksudnya: ‘…bertanyalah atau rujuklah
kepada mereka yang ahli (dalam bidangnya) sekiranya kamu tidak mengetahui’.
Bagi yang telah direzekikan dan mengambil vaksin Covid-19, syabas dan tahniah diucapkan dan terus patuhi SOP. Ingatlah apa yang dilakukan adalah usaha dan ikhtiar yang dituntut oleh ajaran Islam dan akhirnya Allah SWT jualah yang menyembuhkan segala penyakit. Firman Allah SWT dalam Surah As-Syu’ara’ ayat 80 yang bermaksud: ‘Dan apabila aku sakit, maka Dialah (Allah) yang menyembuhkan penyakit itu’.
Oleh: Dr. Hasnizam Hashim
Pensyarah Kanan
Fakulti Syariah & Undang-Undang
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)