Home Pendapat Praktik ‘Kita jaga kita’ elak kesihatan mental rakyat jadi pandemik

Praktik ‘Kita jaga kita’ elak kesihatan mental rakyat jadi pandemik

Pegawai KKM mengangkat mayat seorang lelaki berumur linkungan 40 an yang maut akibat terjun dari tingkat 12 Flat Loke Yew, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 22 MEI 2021.

KES positif Covid-19 seharian makin tak menampakkan kadar penurunan. Masih belum turun ke angka bawah 4,000 sehari.

Angka kematian kumulatif juga makin meningkat lebih 10 peratus antara minggu ke minggu.

Impak negatif dari serangan Covid-19 khususnya terhadap sektor ekonomi sudah mula terasa sejak kita berhadapan dengan permulaan gelombang ketiga.

Sehingga ke hari ini, sudah 16 bulan semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 diperkenalkan, masih tiada tanda-tanda sektor ekonomi akan berkembang kembali.

Firasat kita selama ini tertumpu kepada dua impak negatif Covid-19 sahaja, iaitu melibatkan tahap kesihatan rakyat dan ekonomi yang kian mengucup.

Ada satu perkara lagi yang mungkin kita terlepas pandang selama ini, iaitu kesihatan mental.

Sejak dua menjak ini kita semua jadi saksi betapa banyak orang yang membunuh diri? Terjun bangunan langkah paling pantas untuk keluar dari permasalahan ini bagi mereka.

Ada yang telah arwah, ada juga yang dapat diselamatkan pihak berkuasa.

Semua mangsa punya latar belakang cerita ngeri yang hampir sama. Sudah tidak mampu bertahan dengan situasi pandemik yang mematikan sikit demi sikit punca rezeki masing-masing.

Perniagaan mereka musnah. Ada yang terpaksa menganggur. Ada yang pendapatan mereka makin mengecil. Ada juga yang dulu bergelar kelas M40, kini sudah jatuh menjadi B40.

Sungguh! Situasi makin genting jika kita hanya berpeluk tubuh. Bunuh diri akibat kesihatan mental merosot ini akan menganggu ekosistem masyarakat yang lain.

Makin lama, ia akan berjangkit dari satu tempat ke satu tempat lain. Jangan pelik jika minggu ini kita terdengar ada satu kes pembunuhan diri, minggu hadapan ia meningkat kepada dua atau tiga kes pula.

Justeru marilah kita gerakkan semangat setiakawan, kekitaan, ukhuwah dan jemaah di setiap kawasan komuniti kita untuk saling bantu membantu jiran tertangga yang mungkin terkandas dan terkesan dengan impak negatif Covid-19 ini.

Jika kita ada terdengar jiran terpaksa ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’, apa salahnya kita hulurkan sedikit sumbangan untuk meringankan keperitan mereka. Yang penting mereka dapat kenyangkan perut dan lapangkan sedikit dada
serta ringankan bebanan di kepala.

Impian kita supaya tiada lagi kes bunuh diri di kawasan sekitar kita. Mungkin inilah tanggungjawab kifayah yang perlu digerakkan mulai sekarang. Libatkan jawatankuasa taman, jawatankuasa kampung, jemaah masjid surau, kelab-kelab anak muda belia dan
orang-orang berpengaruh dalam radius kawasan kita.

Kenapa kita perlu berkira atau memberi banyak persoalan untuk membantu tanpa syarat? Bukankah setiap pembelian tanpa syarat itu dianggap suatu sedekah yang tidak akan mendukacitakan hidup kita selepas itu?

“Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik)
terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.” (Surah al-Baqarah: 274).

Semoga kita mampu menang melawan pandemik Covid-19, merancakkan semula sektor ekonomi dalam negara dan mengurangkan statistik kesihatan mental di
Malaysia.

Sarfarizmal Md Saad
Kelab Belia Inspirasi Malaysia