Saturday, November 16, 2024
Home Nasional Azmin Ali gagal batal saman 10 pengundi Gombak

Azmin Ali gagal batal saman 10 pengundi Gombak

Mohamed Azmin Ali
KUALA LUMPUR – Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali gagal membatalkan saman yang difailkan 10 pengundi di kawasan Parlimen Gombak.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Akhtar Tahir menerusi prosiding yang diadakan secara dalam talian hari ini.
Hakim Akhtar juga tidak membenarkan permohonan 10 pengundi tersebut untuk menyingkirkan sebahagian daripada Pernyataan Pembelaan Azmin terhadap saman mereka.
“Ini bermaksud kita harus menjalani perbicaraan. Tarikh perbicaraan adalah 7 hingga 10 Jun 2022 manakala tarikh pengurusan kes untuk mematuhi perintah itu adalah pada 7 April 2022,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.
Peguam itu menambah, Akhtar turut memutuskan bahawa saman itu melibatkan isu yang tidak boleh diselesaikan dengan permohonan pembatalan, oleh itu perkara tersebut harus melalui perbicaraan penuh.
Pada 27 November lalu, 10 pengundi di Gombak memfailkan saman terhadap Azmin atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari melalui ‘Langkah Sheraton’ yang  menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang, Februari tahun lalu.
Kewajipan fidusiari merujuk kepada hubungan antara pemegang amanah dan penerima manfaat (benefisiari).
Plaintif mendakwa Azmin telah melanggar kepercayaan mereka dengan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam ‘Langkah Sheraton’ sehingga menyebabkan kejatuhan kerajaan PH, walaupun bekas Menteri Besar Selangor itu berkempen dan memenangi kerusi Parlimen Gombak atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR)/ PH.
Azmin berusaha membatalkan saman berkenaan kerana mendakwa tindakan itu melanggar hak asasinya untuk  berpersatuan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Seramai 10 pengundi itu berusaha membatalkan pernyataan pembelaan Azmin, yang antara lain menyebut tuduhan seksual terhadap presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai alasan untuk keluar dari parti itu.

Azmin, yang merupakan bekas timbalan presiden PKR, kini menjadi anggota majlis tertinggi Bersatu.

Pada Februari tahun lalu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin memutuskan parti itu keluar daripada Pakatan Harapan. Dia disertai oleh ahli parlimen PKR yang dipimpin oleh Azmin dalam apa yang digelar sebagai ‘Langkah Sheraton’.

Ini menyebabkan kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad tumbang dan penubuhan kerajaan Perikatan Nasional sekarang, yang mana Muhyiddin kini menjadi perdana menteri.

Penghujung tahun lalu, seramai 10 pengundi Gombak mengemukakan saman terhadap Azmin atas tuduhan melanggar janji yang dibuatnya pada PRU14.

Menurut salinan saman tersebut, 10 plaintif itu menuntut sembilan deklarasi mahkamah termasuk bahawa wakil rakyat mereka mempunyai kewajipan fidusiari dan didakwa telah melanggar tugas tersebut.

Kewajipan fidusiari merujuk kepada hubungan antara pemegang amanah dan penerima manfaat (benefisiari).

Plaintif mendakwa Azmin telah melanggar kepercayaan mereka dengan bekerjasama dengan BN dalam “Langkah Sheraton” dan menyebabkan kejatuhan kerajaan PH, walaupun dia berkempen dan memenangi kerusi Parlimen Gombak atas tiket PKR / PH. – MalaysiaGazette