KUALA LUMPUR – Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.
Itu gambaran pendakwah, Ebit Liew apabila bertemu golongan orang kelainan upaya (OKU) di Hospital A’mal Khan Younis Gaza, Palestin terutama yang anak yang kehilangan kaki akibat serangan bom.
Ujar pendakwah itu, sebahagian besar daripada mereka telah cacat sejak lahir namun mereka masih berpeluang mendapat pendidikan percuma di hospital yang dikendalikan Pertubuhan Bulan Sabit Merah Palestin itu.
“Sebak dan sayu melihat tempat dibom. Saya ziarah dan bawa hadiah dan bantu belikan kerusi roda untuk anak yang hilang kaki atau hilang upaya di Hospital A’mal Khan Younis Gaza.”
“Semua merayu untuk dibantu kerana mereka ini semua susah dan miskin. Dibom pula. Adik ni semua sentiasa tersenyum.
“Tapi bila ditanya tentang kaki atau bom. Ada yang senyum dan ada yang menangis,” katanya menerusi hantaran terbaharu di laman Facebook hari ini.
Tambah Ebit lagi, meskipun kanak-kanak di sana diuji namun mereka tampak ceria malah mesra dengan orang baharu seolah -olah mereka sudah lama mengenali antara satu sama lain.
“Ada tiga beradik tiada kaki. Ada seorang yang berumur dua tahun dibom dan membesar tanpa kaki. Ada yang sedang tidur, bangun-bangun mata buta dan kaki sudah tiada kerana dibom. Ada kaki kena peluru masa kecil. Ya Allah,”
“Ketika berbual dan bermain bola keranjang, semua amat ceria ibarat sudah lama kenal. Semua hensem dan cantik. Ramai pakai kaki palsu. Sebelum balik kami dapatkan list apa yang mereka perlu untuk kami bantu selain sumbangan yang diberikan,” ujarnya. – MalaysiaGazette