KUALA LUMPUR- FGV Holdings Berhad (FGV) menerusi anak syarikatnya, Delima Oil Products Sdn Bhd (DOPSB) akan mengeksport 239 tan metrik minyak masak jenama SAJI ke Ethiopia sekali gus membuka pasaran baharu di benua Afrika.
FGV dalam kenyataannya berkata, penghantaran pertama dijadual pada Julai ini berikutan permintaan pasaran yang semakin meningkat untuk minyak masak premium.
Pengarah Bahagian Sektor Logistik dan Perniagaan Sokongan Kumpulan FGV, Azman Ahmad berkata, eksport ke negara dengan 117 juta penduduk itu membuktikan peningkatan keyakinan minyak masak SAJI di pasaran global.
“Kami percaya usaha ini adalah langkah tepat bagi rancangan pengembangan perniagaan FGV di luar negara.
“Pengenalan minyak masak SAJI kepada pengguna Afrika membuktikan keyakinan semakin meningkat di pasaran global terhadap apa yang kami tawarkan.
“Matlamat akhir FGV adalah menyumbang kepada usaha berterusan kerajaan dalam meningkatkan lagi eksport minyak sawit,” katanya yang juga Pegawai Bertanggung Jawab (Person-In-Charge).
Tambahnya, FGV juga sedang meninjau kesesuaian untuk membekal dan mengedar minyak masak SAJI ke negara-negara Afrika yang berjiran.- MalaysiaGazette