Home Nasional Gelandangan masalah mental bakar kenderaan dicekup

Gelandangan masalah mental bakar kenderaan dicekup

Barang yang dirampas daripada suspek yang digunakan untuk membakar lori berkanvas dalam kejadian di Kepong Baru oleh Polis Sentul semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki gelandangan yang membakar lori dan kereta menggunakan arak masakan baru-baru ini ditahan polis.

Lelaki berkenaan disyaki melakukan perkara itu untuk keseronokan diri melihat kebakaran, kata Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai.

Suspek yang dianggarkan berusia 40-an itu yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri telah ditahan polis di sekitar kawasan Kepong.

Menurutnya, suspek menggunakan basikal dan mencari lori yang berkanvas yang dipakir di tepi jalan dan di hadapan bengkel sebelum melakukan perbuatan khianat itu.

Polis menerima panggilan mengenai kejadian kebakaran membabitkan lori Mitsubishi di Kepong Baru pada 11 malam pada 28 Jun lalu dan ia berjaya dipadamkan pasukan bomba dengan kerugian dianggarkan kira-kira RM10,000.

“Selang sejam kemudian iaitu 12.10 pagi pada Selasa, polis menerima satu lagi panggilan mengenai insiden kebakaran kenderaan lori berjenama Mitsubishi juga di Kepong Baru sebelum bomba berjaya memadamkan kebakaran dengan kerugian mangsa sekitar RM120,000.

“Lori yang 70 peratus musnah akibat kebakaran itu mempunyai lapan mesin basuh dan dua peti sejuk baharu untuk dihantar kepada pembeli yang menempah dalam talian pada keesokan harinya.

“Hasil risikan polis, Polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sentul berjaya menangkap satu suspek lelaki tidak berdokumen sekitar jam 3 pagi Jalan Besar Kepong dan merampas dua botol arak masakan, pemetik api dan 10 bungkusan penyedut minuman serta basikal beraga,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Eng Lai, berdasarkan rupa fizikal dan barang rampasan dari suspek, individu itu menyamai ciri pergerakan dan perbuatan khianat suspek yang telah terakam dalam kamera liter tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Menurut beliau, suspek seorang gelandangan yang ada masalah mental dan tidak mempunyai tempat tinggal tetap selain tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Suspek akan dirujuk Jabatan Pendaftaran Negara untuk tujuan mengambil cap jari biometrik untuk mengesan identitinya, katanya.

“Modus operandi suspek adalah dia menaiki basikal dan membawa bersama dua botol arak masakan bersama dan membakar lori berkanvas dengan menyalakan penyedut air dan membuang pada kanvas lori itu.

“Dia juga terlibat dalam beberapa kes lain kebakaran kenderaan di sekitar Jinjang dan juga Kepong Baru sejak 15 Jun lalu membabitkan tujuh insiden seumpama tanpa motif.

“Semasa disoal, suspek hanya memberi reaksi senyum setiap masa dan memandang atas dan dia berkemungkinan seronok melihat nyalaan api dengan membakar kenderaan, apa pun kita akan teruskan siasatan kes ini untuk tindakan sewajarnya.

“Kesemua kes kebakaran membabitkan tiga buah lori, sebuah kereta BMW, sebuah kereta proton Iswara Aeroback, Proton Saga dan Perodua Myvi dan suspek direman tujuh sehingga 5 Julai ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat bakar,” tegasnya.

Menurutnya polis juga akan merujuk pihak perubatan hospital untuk mendapatkan laporan perkembangan kesihatan semasa suspek sementara melengkapkan siasatan untuk diangkat kepada Timbalan Pendakwaraya untuk arahan lanjut.-MalaysiaGazette