GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang menggesa pihak seluruh wakil rakyat dalam negara mengambil berat berhubung kehidupan rakyat yang semakin terhimpit susulan pandemik Covid-19 ketika ini.
Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, kempen bendera putih yang mendapat sokongan memberangsangkan sejak kelmarin telah membuktikan kehidupan rakyat terdesak sekali gus mengakibatkan kes bunuh diri meningkat kebelakangan ini.
“Keadaan Covid-19 dalam negara semakin serius sekali gus menyebabkan rakyat terkesan dengan kerana mereka tidak dapat berniaga selain ada yang hilang pekerjaan.
“Jadi ketika rakyat berinisiatif untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan, dengan mengibarkan bendera putih, semua wakil rakyat termasuk ahli Parlimen pembangkang juga seharusnya memberi fokus dalam isu ini serta menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Tong Keong, semua ahli Parlimen termasuk wakil rakyat pembangkang perlu memanfaatkan peruntukan RM300,000 diberikan kerajaan pusat untuk membantu rakyat menangani desakan hidup dalam tempoh pandemik.
“Saya berharap agar semua ahli Parlimen turun padang, melawat dan memahami kesukaran dan masalah yang dihadapi penduduk di kawasan mereka dan pada masa yang sama menghulurkan bantuan dengan segera.
“Usaha selamatkan rakyat merupakan tanggungjawab semua pemimpin tidak kira sama ada pemimpin kerajaan mahupun pembangkang.
“Seluruh wakil rakyat harus mengetepikan pendirian politik dan memberi fokus berhubung kebajikan rakyat dalam mengharungi cabaran Covid-19,” ujar beliau. – MalaysiaGazette