NIBONG TEBAL – Malang tidak berbau!
Itu yang berlaku kepada seorang lelaki apabila cedera selepas disengat lebah ketika membersihkan kebun duriannya di atas bukit berhampiran Simpang Sungai Buaya di sini hari ini.
Kejadian itu menyebabkan Saharuden Ismail,56, bengkak di beberapa bahagian termasuk muka.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada anak mangsa pada jam 1.56 tengah hari tadi.
“Sebaik tiba di lokasi kita dapati mangsa berada dalam keadaan separuh sedar di atas bukit tersebut.
“Anak mangsa yang turut berada di lokasi memaklumkan ayahnya diserang lebah ketika mesin rumput di dalam kebun tersebut.
“Susulan itu, kita memberikan rawatan awal sebelum membawa turun mangsa ke kaki bukit menggunakan pacuan empat roda milik orang awam,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Tambah jurucakap itu, mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk rawatan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pukul 3.08 petang. – MalaysiaGazette