NILAI – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini menegaskan tiada kenaikan yuran pengajian dikenakan kepada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).
Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pihaknya turut meminta pihak universiti supaya tidak mengenakan yuran bagi aktiviti lain kerana kebanyakan pelajar kini tidak berada di kampus akibat penularan pandemik COVID-19 ini.
“Dari awal kita telah maklumkan bahawa tiada kenaikan (yuran pengajian), dan bil berkaitan aktiviti lain memang kementerian sudah minta supaya tidak dicajkan walaupun universiti mempunyai autonomi mengenai yuran dan saya difahamkan ada universiti yang berikan diskaun,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin Mega di Universiti Sains Islam Malaysia di ini hari ini.
Mengulas perkara lain, Noraini berkata setakat ini kira-kira 30 peratus pensyarh universiti telah menerima suntikan vaksin COVID-19 dengan sebahagiannya melibatkan tenaga pengajar fakulti perubatan dan pergigian.
“Keutamaan pelajar lain selepas ini tertumpu kepada mereka yang berada di kampus kerana tiada akses Internet untuk pengajian dalam talian serta pelajar tahun akhir,” katanya.
— BERNAMA