KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu merancang mewujudkan skim sara diri yang lebih menjamin rakyat bawahan agar mereka boleh meneruskan kelangsungan hidup yang asasi.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya terkejut dengan maklumat bahawa hampir empat juta rakyat di negara ini memilikki kurang dari RM5,000 dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka.
Katanya, dalam jangkaan pandemik dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan berpanjangan beberapa waktu lagi, bagaimana mereka mampu bertahan.
“Walaupun ada bantuan dari skim pemulihan kerajaan akan tetapi kami tidak nampak rakyat dalam kelompok ini boleh memenuhi keperluan asas sedangkan kos makanan terus meningkat.
“Kami berpendapat kaedah yang sesuai harus difikirkan agar peraturan PKP disesuaikan dengan keperluan rakyat agar masih tetap berpeluang memperolehi pendapatan sara diri atau kekal dalam pekerjaan,” katanya menerusi kenyataan.
Mohd Azmi berkata, laporan bahawa ratusan ribu syarikat dan ushawan kecil terpaksa membuang pekerja dan menutup operasi akan menjejaskan kehidupan ratusan ribu isi keluarga.
Kini keadaan yang tidak menentu telah mengakibatkan mereka yang menerima upah harian terjejas teruk selain bilangan golongan mereka yang tinggal di perumahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang kehabisan wang sangat bergantung kepada bantuan, katanya.
Tambahnya, fenomena kibar bendera putih untuk mengisyaratkan isi rumah bahawa mereka memerlukan bantuan kecemasan juga sangat mengejutkan.
“Kami masih keliru kerajaan masih terus mengatakan keadaan ekonomi di Malaysia menunjukkan tanda yang positif dan pelaburan luar pula meningkat.
“Akan tetapi realiti yang berlaku di kalangan rakyat pertengahan M40 dan bawahan B40 sangat tenat dan meruncing,” katanya. – MalaysiaGazette