Home Seni Hidup Amyra Rosli dikecam menunjuk-menunjuk makan durian

Amyra Rosli dikecam menunjuk-menunjuk makan durian

Foto Instagram Amyra Rosli.

KUALA LUMPUR – Aktor Amar Baharin simpati dengan isterinya yang juga aktres, Amyra Rosli apabila dituduh menunjuk-nunjuk ketika menikmati buah durian melalui posting foto di laman Instagram.

Menurut pelakon berusia 36 tahun itu, Amyra hanya memuat naik foto tersebut bagi tujuan mempromosikan produk peniaga tempatan namun disalah erti oleh segelintir netizen.

Menerusi akaun Instagram miliknya, aktor drama Cemburu Seorang Perempuan itu tampil mempertahankan isterinya selain memuat naik tangkap layar komen negatif yang ditulis warganet.

“Makan sorok-sorok, usah tunjuk-tunjuk. Kasihan yang teringin tapi tak mampu,” kata seorang netizen.

“Betul tu. Bukan negatif, kasihan kat orang yang teringin tapi tak mampu. Ramai artis kayangan yang tak sensitif dengan keadaan rakyat. Durian pun nak buat review ke?” bidas seorang lagi netizen.

Amar menjelaskan, tiada siapa yang akan membantu melainkan antara kita bagi meningkatkan jualan peniaga dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Keinginan dan kemampuan adalah dua jalan berbeza. Berbelanja ikut kemampuan (keperluan). Kami pun banyak perkara yang diinginkan tapi tak mampu.

“Takde pula kami marah penjual Vellfire Royal Lounge. Kami beli Bezza saja. Janji boleh keluar cari rezeki, muat bawa keluarga. Syukur alhamdulillah,” jelas bapa kepada dua orang anak itu.

Tambah Amar, dia dan isteri memahami situasi orang ramai yang agak tertekan ketika ini serta berhasrat untuk memberi sedekah raja buah itu kepada dua individu yang bertuah.

“Kalau ada yang betul2 teringin nak rasa, saya boleh sedekah. Tapi tak banyak la sebab saya pon tak mampu. Nanti saya pilih 2 orang yang bertuah,” tulisnya. – MalaysiaGazette