Home Seni Hidup 200 kiosk Amal Kongsi Rezeki seluruh negara bantu golongan terputus bekalan makanan

200 kiosk Amal Kongsi Rezeki seluruh negara bantu golongan terputus bekalan makanan

Mohd Khairuddin Aman Razali.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 200 kiosk Amal Kongsi Rezeki di seluruh negara diwujudkan bagi membantu asnaf dan golongan yang terkesan akibat Covid-19.

Kiosk yang diletakkan di pasar raya dan kedai runcit itu disediakan untuk memudahkan individu yang keputusan bekalan makanan mengambil barangan asas yang diperlukan.

Menurut Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, hasil kerjasama Majlis Getah Malaysia (MRC) dan Yayasan Amal Malaysia (YAM), sebanyak RM260,000 disumbangkan untuk program ini.

Beliau berharap usaha itu akan menjadi ikutan lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat lain untuk membantu golongan yang memerlukan dalam tempoh ini.

Dalam masa yang sama, beliau menyeru orang ramai yang membeli di pasar raya yang mempunyai kiosk Amal Kongsi Rezeki untuk turut bersedekah menambah bekalan keperluan asas.

“Mereka boleh berbincang dengan mana-mana pasar raya sediakan kiosk untuk rakyat membeli dan meletakkan barangan mereka, mudah saja apa yang diperlukan. Yang penting ada orang yang mulakan.

“Kita tahu ramai orang kesempitan dan malu untuk bercerita ada yang mengangkat bendera putih, kita mengajak mereka datang ke pasar raya seumpama ini tidak ada orang akan tanya.

“Ambil sahaja barang yang diperlukan,” katanya ketika hadir melancarkan program itu di Legasi Sabasun HyperRuncit di Kampung Baru, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawau Eksekutif MRC, Nurul Islam Mohamed Yusoff, Presiden YAM Hussin Ismail dan Pengarah Urusan Sabasun HyperRuncit Sdn Bhd, Che Salmi Che Ibrahim. – MalaysiaGazette