Home Utama Banyak pekerja diugut majikan supaya datang bekerja semasa PKPD – Saravanan

Banyak pekerja diugut majikan supaya datang bekerja semasa PKPD – Saravanan

Human Resources HRM Working for Workers WFH work from home employees threatened to work employers EMCO
M. Saravanan

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerima banyak aduan daripada para pekerja bahawa mereka telah diugut oleh majikan untuk hadir bekerja seperti biasa dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka diberhentikan kerja.

Oleh itu, sekiranya para pekerja masih diarahkan oleh majikan untuk hadir ke tempat kerja, aduan boleh disalurkan kepada KSM menerusi aplikasi Working for Workers (WFW).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan mengingatkan para majikan untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang akan dilaksanakan di mukim-mukim Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur mulai 3 Julai hingga 16 Julai 2021.

Dalam kenyataan di sini, beliau mengegsa para majikan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, khususnya dari segi penetapan kapasiti kehadiran pekerja ke pejabat/ tempat kerja seperti yang ditetapkan oleh kerajaan.

Pekerja selain daripada perkhidmatan perlu (essential services) tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD dan tidak boleh bekerja di pejabat/ tempat kerja sepanjang tempoh PKPD.

Justeru, majikan adalah dikehendaki untuk mematuhi perintah ini dan membenarkan pekerja-pekerja bekerja dari rumah.

Selain kategori aduan BDR, aplikasi ini juga mempunyai 16 kategori aduan lain membabitkan isu perburuhan. KSM sentiasa memberi perhatian terhadap aduan-aduan yang diterima dan tindakan sewajarnya akan diambil oleh kementerian.

Bagi tempoh antara 23 Mei 2021 dan 1 Julai 2021, KSM melalui aplikasi Working For Workers (WSW) telah menerima 1,878 aduan berhubung majikan tidak membenarkan pekerja Bekerja Dari Rumah (BDR).

Negeri yang merekodkan paling banyak jumlah aduan BDR adalah Selangor (696 aduan), diikuti WP Kuala Lumpur (505 aduan), Johor (196 aduan) dan Pulau Pinang (123 aduan).

Dari 1 Jun hingga 1 Julai 2021, sejumlah 59 kompaun yang berkaitan dengan ketidakpatuhan kepada kapasiti kehadiran pekerja ke pejabat/ tempat kerja telah dikeluarkan oleh agensi-agensi penguatkuasaan di bawah KSM seperti Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Tambah beliau, dengan pelaksanaan PKPD di Selangor dan Kuala Lumpur yang akan bermula pada 3 Julai 2021, KSM juga akan mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan melalui akta-akta di bawah kementerian dan menyeru agar para majikan mematuhi SOP PKPD yang ditetapkan sebagai langkah bersama bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19. – MalaysiaGazette