KUALA LUMPUR – Global Alliance For Public Relations And Communication Management (GA) yang merupakan gabungan Kesatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi utama dunia telah memilih Naib Presiden, Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM) Jaffri Amin Osman sebagai Ahli Lembaga Eksekutifnya.
Jaffri merupakan seorang pengamal perhubungan awam (PR) yang bertauliah dan memiliki pengalaman lebih 30 tahun serta ahli Felo IPRM.
Pemilihan beliau sebagai anggota Lembaga Eksekutif GA berkuatkuasa bagi penggal 2021 hingga 2023 dan juga telah dilantik sebagai Pengerusi Global Alliance For Public Relations And Communication Management (GA) Asia Pasifik.
Penghormatan ini selari dengan perkembangan semasa geo-politik, demografi serta ekonomi yang dinamik dan mampan pelbagai sektor di rantau ini.
Setiausaha Global Alliance yang juga Pengerusi Institut Perhubungan Awam New Zealand, Fiona Cassidy dalam satu kenyataan berkata, pihaknya berbangga telah berpeluang untuk berkongsi pentas dengan Jaffri di persidangan perhubungan awam di seluruh dunia selama enam tahun yang lalu.
“Jaffri adalah seorang pengamal perhubungan awam yang profesional dan komited. Tahniah kepada Jaffri dan IPRM kerana mereka kini merupakan ahli lembaga Global Alliance.
“Kemahiran dan pengalaman Jaffri sudah pasti memberikan sumbangan yang besar kepada kita semua dan saya gembira untuk bekerjasama dengannya,” katanya.
Presiden IPRM Datuk Seri Ibrahim Abdul Rahman turut mengucapkan tahniah kepada Jaffri di atas pelantikan itu
“Model PR dan Komunikasi Global 2021 serta peranan dan tugas Jaffri yang pelbagai di Global Alliance sememangnya bersinergi dengan visi IPRM untuk meningkatkan perkembangan,” katanya dalam satu kenyataan bersama.
GA merupakan organisasi berdaftar di Switzerland mewakili lebih dari 300,000 pengamal perhubungan awam dari pelbagai industri dan akademik dari 126 negara seluruh dunia.
Sementara itu, Jaffri adalah Pengarah Urusan di World Communications Network, Kuala Lumpur dan menguruskan aktiviti perhubungan awam dan komunikasi sejak tahun 1994.
Beliau juga telah menubuhkan Persidangan Perhubungan Awam Antarabangsa Kuala
Lumpur (KLIP), yang mendapat sambutan memberansangkan dengan penceramah
serta penyertaan global. – MalaysiaGazette