Home Ekonomi Ringgit diniaga dalam tekanan

Ringgit diniaga dalam tekanan

Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid

KUALA LUMPUR – Ringgit akan terus diniagakan dalam tekanan berbanding dolar AS minggu depan berikutan peniaga mata wang memantau perkembangan di Amerika Syarikat (AS) selain menunggu mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada Khamis depan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, dolar AS/ringgit telah bergerak lemah pada minggu ini di tengah-tengah peningkatan indeks dolar AS kepada 92.632 mata pada Jumaat.

“Memandangkan isu mengenai pengurangan kuantitatif AS yang semakin meruncing, nilai dolar AS dijangka meningkat, menyebabkan mata wang pasaran pesat membangun menjadi lebih lemah termasuk ringgit. Mungkin ringgit akan kekal pada sekitar RM4.16 minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Mengulas mengenai minggu baru berakhir, Mohd Afzanizam berkata, data seperti Indeks Pengurus Pembelian Malaysia yang merosot mendadak kepada 39 mata pada Jun selepas kekal lebih 50 mata sejak dua bulan lepas berikutan pelaksanaan Fasa Pertama dalam Pelan Pemulihan Negara, memberi kesan buruk kepada aktiviti pembuatan.

“Ia telah memberi impak buruk kepada ringgit,” katanya.

Ahli ekonomi Adam Mohamed Rahim berkata, acara utama yang akan dipantau oleh pelabur di Malaysia adalah mesyuarat MPC BNM, yang mana bank pusat mungkin mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) semasa pada 1.75 peratus.

“Kenaikan kadar pada 2021 adalah terlalu awal berikutan lonjakan inflasi, sebahagiannya adalah disebabkan sifat asas rendah dan kebanyakan kenaikan itu disumbangkan oleh harga tenaga.

“Lebih-lebih lagi, negara masih dalam tempoh pemulihan dengan mencatatkan kes semasa melebihi 5,000 sehari. Oleh itu, OPR semasa dianggap sesuai pada masa ini untuk menyokong ekonomi,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih kukuh berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0778/0818 daripada 3.0964/0980 pada minggu sebelum ini.

Ia juga naik berbanding pound Britain kepada 5.7188/7256 daripada 5.7781/7802 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.9171/9230 daripada 4.9627/9645 pada minggu sebelumnya.

Ringgit turut menokok kepada 3.7303/7351 daripada 3.7526/7540 sebelum ini. – MalaysiaGazette