HONOLULU – Sebuah pesawat kargo Boeing 737 yang membawa dua orang penumpang terjatuh di pantai Hawaii setelah mengalami masalah enjin.
Pesawat itu dalam perjalanan dari Honolulu ke pulau Maui terjatuh di perairan itu sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Daniel K Inouye.
Pengawal Pantai bertindak menyelamatkan kedua-dua juruterbang dari laut.
Seorang ditemui berpaut pada ekor pesawat sebelum diselamatkan.
Menurut jurucakap Jabatan Pengangkutan Negeri, mangsa diangkut ke Pusat Perubatan Queen dan dibawa ke rawatan intensif kerana dalam keadaan kritikal.
Seorang lagi juruterbang dibawa ke darat dengan kapal.
Juruterbang itu juga dilaporkan dalam keadaan serius dengan kecederaan kepala.
Kakitangan penyelamat berkata, salah satu enjin pesawat itu telah hilang.
Boeing sedang memantau secara rapat situasi itu manakala Pentadbir Penerbangan Persekutuan (FAA) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan sedang menyiasat insiden tersebut.
“Juruterbang telah melaporkan masalah enjin dan cuba kembali ke Honolulu ketika mereka telah mendarat pesawat di dalam air,” kata FAA dalam satu kenyataan.
Laman web Flightradar24 dalam ciapannya berkata, pesawat kargo 737-200 itu dikendalikan untuk syarikat penerbangan Transair sejak 2014.
Ia dibina pada tahun 1975 dan pertama kali dihantar ke Pacific Western Airlines.
Transair Flight 810 meninggalkan Honolulu menuju ke Kahului pada 01:33 waktu tempatan (11:33 GMT), kata Flightradar 24, tetapi kembali dengan cepat setelah itu.
Ia dikatakan telah merempuh air setelah beberapa minit di udara. – MalaysiaGazette