KUALA LUMPUR – Lagi tular gambar pemimpin politik langgar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kali ini melibatkan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.
Dalam gambar yang tular itu, Mahfuz yang juga merupakan bekas timbalan menteri kelihatan bersila atas meja sambil minum teh serta bersembang bersama-sama beberapa individu secara terbuka dalam satu program bantuan baru-baru ini.
Polis Kedah dipercayai membuka kertas siasatan berhubung kes ini tanpa menyebut nama Mahfuz.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya membuka siasatan berhubung kes itu mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPP) 2020.
“Pada 3 Julai sekitar 11.36 malam tadi, satu laporan polis telah dibuat berkaitan tular gambar media sosial pelanggaran SOP Pelan Pemulihan Negara Fasa 1 melibatkan seorang Ahli Parlimen.
“Hasil siasatan mendapati beberapa keping gambar dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook bernama Nurul Amin Hamid.
”Gambar-gambar itu memaparkan seorang Ahli Parlimen terlibat dalam satu program bantuan dan kelihatan beliau tidak amalkan SOP.
“Kes itu masih dalam siasatan polis,” katanya dalam kenyataan.
MalaysiaGazette juga difahamkan beberapa orang saksi akan dipanggil bagi membantu siasatan tersebut.
Ini bukanlah kali pertama ahli politik melanggar SOP, selepas kecoh minggu lalu tular gambar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed sedang makan di sebuah kafe di Jeli.
Kemudian tular pula video Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkunjung ke sebuah kebun durian dan makan durian. -MalaysiaGazette