Home Nasional Darurat: Yang di-Pertuan Agong dicadang rujuk Mahkamah Persekutuan

Darurat: Yang di-Pertuan Agong dicadang rujuk Mahkamah Persekutuan

Zainul Rijal Abu Bakar.

KUALA LUMPUR – Persatuan Peguam Muslim Malaysia menyarankan agar Yang di-Pertuan Agong merujuk kepada Mahkamah Persekutuan bagi menangani kekeliruan berhubung keabsahan proklamasi darurat oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Tindakan itu mengikut Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan, kata presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

”Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan berbunyi Yang di-Pertuan Agong boleh merujukkan kepada Mahkamah Persekutuan untuk pendapatnya apa-apa soal tentang kesan mana-mana peruntukan perlembagaan ini yang telah berbangkit atau yang tampak padanya mungkin berbangkit, dan Mahkamah Persekutuan hendaklah mengumumkan pendapatnya tentang apa-apa soal yang dirujukkan sedemikian kepadanya itu di dalam mahkamah terbuka,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara persoalan Perlembagaan yang dibangkitkan ialah:
a) Adakah nasihat Perdana Menteri untuk mendapatkan Proklamasi Darurat sah disebabkan ketika itu Perdana Menteri didakwa tidak mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat?
b)Adakah Proklamasi Darurat perlu mendapat persetujuan Parlimen?;
c)Adakah Yang Di Pertuan Agong khilaf menerima nasihat Perdana Menteri mengisytiharkan Darurat tanpa persetujuan Parlimen?;
d)Adakah Yang Di Pertuan Agong wajib mendapatkan nasihat Perdana Menteri menurut Perkara 40 untuk menamatkan Darurat?;
e)Adakah Jemaah Menteri mempunyai kuasa eksekutif dalam tempoh darurat dan Parlimen boleh bersidang dalam tempoh tersebut?; dan
f)Adakah Ordinan Darurat boleh bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan?

Menurut beliau, rujukan itu bagi menjawab pelbagai persoalan mengenai Perlembagaan Persekutuan telah dibangkitkan khususnya yang mempunyai kaitan dengan Proklamasi Darurat yang sedang berkuatkuasa.

Dengan rujukan tersebut, Mahkamah Persekutuan hendaklah mengumumkan pendapat yang dirujuk dalam mahkamah terbuka dan ia akan menjadi suatu yang mengikat semua pihak.

Dengan cara itu semua perbezaan pandangan dapat dilupuskan dan jawapan tuntus diperoleh daripada Mahkamah Persekutuan.

Walaupun sebelum ini rujukan menurut Perkara 130 ini belum pernah dilaporkan, ia tidak menghalang Yang Di Pertuan Agong daripada membuat rujukan tersebut kerana Perkara 130 ini masih berkuatkuasa.

Zainul menambah, banyak lagi persoalan lain yang timbul sebenarnya dan persoalan-persoalan di atas merupakan soalan-soalan yang dikemukakan oleh khalayak awam dan pakar perundangan sama ada daripada kalangan ahli akademik, para peguam, mantan hakim mahupun peguam negara sendiri.

Mereka sudah pun mengeluarkan pendapat masing-masing berdasarkan pemahaman mereka sendiri, ujarnya.

”Saya juga mempunyai pandangan saya dalam perkara di atas dan pandangan saya mungkin sama ataupun berbeza dengan pandangan orang lain samada ahli akademik, peguam lain ataupun mantan hakim.

”Hal ini mendatangkan lebih banyak kekeliruan di kalangan orang awam kerana pelbagai pandangan yang berbeza dikeluarkan. Rakyat kini mahu tahu suatu kedudukan yang tuntas mengenai isu-isu perlembagaan tersebut. Namun hakikatnya mereka masih terpengaruh oleh blok pemikiran berdasarkan kepada politik kepartian khususnya,” ujar beliau lagi.

Jelas peguam itu lagi, dengan rujukan tersebut, Mahkamah Persekutuan hendaklah mengumumkan pendapat yang dirujuk tersebut dalam mahkamah terbuka dan ia akan menjadi suatu yang mengikat semua pihak.

Dengan cara itu semua perbezaan pandangan dapat dilupuskan dan jawapan tuntus daripada Mahkamah Persekutuan.

Walaupun sebelum ini rujukan menurut Perkara 130 ini belum pernah dilaporkan namun ia tidak menghalang Yang di-Pertuan Agong daripada membuat rujukan tersebut kerana Perkara 130 ini masih berkuatkuasa. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tepat sekali…jgn tanya pandangan Peguam Negara sbb AG ni dilantik oleh PM..mcm Tommy Thomas dan AG sekarang ni. Maka pastilah nasihat AG akan pro kpd Kerajaan

Comments are closed.