KUALA LUMPUR – Pemegang Amanah Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam, Datuk Sivakumar Nadraja mengagihkan paket makanan tengahari setiap hari sejak sebulan ini golongan terjejas di sekitar Lembah Kelang.
Sivakumar atau lebih dikenali dengan pangilan DSK berkata, beliau sedia maklum dengan kesusahan yang dihadapi masyarakat setempat terutamanya dalam mendapatkan makanan untuk meneruskan kehidupan seharian.
Setakat ini lebih 2,500 paket makanan berlauk seperti ayam, ikan serta sayur-sayuran selain nasi goreng atau mee goreng diedarkan ke lokasi-lokasi yang dilaporkan berada dalam keadaan terdesak, tambahnya.
“Ini bukanlah kali pertama saya bersama-sama pasukan melaksanakan inisiatif bantuan seperti ini sebaliknya dari awal pandemik lagi. Saya sentiasa dihubungi oleh pelbagai pihak untuk memohon bantuan.
“Hakikatnya Covid-19 ini adalah benar dan penderitaan yang sedang dilalui oleh keseluruhan masyarakat di negara ini juga adalah benar, bayangkan untuk sesuap nasi itu sendiri kini mereka bantu,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Katanya, inisiatif itu akan teruskan sehinggalah tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan sekurang-kurangnya 100 paket diedarkan di setiap lokasi setiap hari.
Dalam pada itu, kata Sivakumar, beliau sedar tekanan yang dihadapi rakyat di negara ini sehingga ada yang sanggup bunuh diri.
“Dua minggu lepas ketika pasukan kami sedang edarkan bungkusan makanan di sebuah PPR, ada kejadian depan mata saya sendiri bagaimana salah seorang penghuni rumah PPR itu sudah hampir terjun bangunan.
“Menakutkan, mengerikan dan cukup hiba perasaan kami yang berada di lokasi tersebut. Inilah hakikat yang sedang melanda negara ini,” ujarnya.
Berikutan itu, beliau merayu mereka yang berkemampuan untuk tampil membantu. – MalaysiaGazette