KUALA LUMPUR – Setakat mengurung rakyat sudah tidak lagi relevan sebaliknya Prosedur Operasi Standard (SOP)yang berkenaan patut dikaji semula secara holistik dan berasaskan data yang sahih.
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut melahirkan kebimbangan rakyat yang kini sudah dikurung hampir dua bulan mengalami masalah kesihatan mental dan fizikal yang teruk.
Di samping itu, masalah sosioekonomi juga timbul akibat situasi ini yang berpanjangan.
“Sehingga kini, statistik Covid-19 masih menunjukan jumlah kes harian yang tinggi,” titah baginda yang dimuat naik di laman Facebook hari ini.
Terdahulu baginda bertemu Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad; Exco Pelancongan, Belia dan Sukan, Datuk Onn Hafiz Ghazi; dan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani.
Dalam perjumpaan tersebut baginda menitahkan agar kerajaan negeri mempercepatkan lagi pelaksanaan inisiatif-inisiatif melawan pandemik Covid-19 yang kini dalam keadaan yang kritikal.
Menurut baginda, penggunaan ‘rapid test kit’ dan test kit peribadi juga perlu diperkenalkan secepat mungkin untuk semua orang dan digunakan secara meluas .
“Khususnya untuk sektor-sektor yang penting selain daripada para barisan hadapan, khususnya sektor kritikal yang melibatkan pemprosesan ubatan, bahan makanan dan barang keperluan asas.
Rakyat juga, titah baginda, patut disaring secara meluas dan divaksinasi secepat mungkin.
Tunku Ismail juga telah menitahkan agar proses vaksinasi untuk Bangsa Johor dipercepatkan melalui pelbagai inisiatif, termasuk untuk kerajaan negeri Johor memperolehi vaksin secara pembelian terus.
“Dengan ini, saya berharap kita akan berjaya mengatasi pandemik ini. Allah Peliharakan Sultan,” titah baginda. – MalaysiaGazette