KUALA LUMPUR – Tokoh wartawan, Datuk A Kadir Jasin mendakwa tindak tanduk Pas semakin hari semakin berkecamuk seperti kehabisan modal.
Malah Bekas Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mengkritik peranan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang didakwanya tidak banyak memainkan peranan walaupun berjawatan tinggi.
“Maaf cakaplah kalau saya kata, sejak akhir-akhir ini hujah, tindak tanduk serta tingkah laku Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan anak buahnya semakin berkecamuk seolah-olah kehabisan modal, hilang akal dan terdesak. Malah boleh disifatkan sebagai pelik.
“Sejak menghalalkan kerajaan PN yang pernah difatwakannya sebagai kerajaan tebuk atap dan dilantik menjadi Duta Khas ke Timur Tengah bertaraf menteri pada 2 April 2020 lalu, Presiden Pas itu langsung tidak cemerlang.
“Lebih setahun berlalu tanpa sebarang hasil yang nyata. Di masa yang sama tindak tanduk pemimpin Pas yang lain tidak langsung membantu sebaliknya memburukkan keadaan,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Tambah beliau, Abdul Hadi langsung tidak berperanan dalam konflik Palestin-Israel baru-baru ini selain perkara berkaitan perhubungan antara Malaysia dengan Timur Tengah.
Malah, katanya, dalam lawatan rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu pada Mac lalu, Hadi tidak dibawa bersama dengan alasan beliau tidak begitu sihat ketika itu.
“Kalau kesihatannya tidak mengizinkan, mengapa dilantik ke jawatan yang begitu penting dengan gaji dan elaun yang cukup lumayan?
“Tidak ada sesiapa yang memaksa Abdul Hadi memikul beban amanah yang tidak tertanggung olehnya,” ujarnya.
Kadir turut mempersoalkan prestasi pemimpin Pas yang dilantik menjadi Menteri, Menteri Besar dan Timbalan Menteri yang didakwanya tidak cemerlang.
Beliau mendakwa mereka tidak cemerlang dan lebih kerap melencong ke arah sensasi seperti melanggar prosedur operasi standard Covid-19 dan kontroversi lain.
“Kesimpulannya manakala Abdul Hadi sedang menderita sindrom kesunyian dan kebimbangan takut hilang jawatan, anak-anak buahnya sedang khayal diracuni kuasa, harta dan glamor.
“Abdul Hadi sunyi kerana dia tidak diraikan semeriah Menteri-menteri Pas dalam Kerajaan PN dan bimbang Kerajaan PN tumbang apabila darurat tamat dan Parlimen kembali bersidang. Bagi anak-anak buahnya pula, mereka “bergumbira” dan bersuka ria sementara masa masih ada,” ujarnya. – MalaysiaGazette
kadir jasin ni yang sebenarnya KEMPUNAN nak jadi menteri/timb ment dlm kabinet mahathir 22 bulan lalu …kadir jasin fuad jakarshi mohamad jazlan adalah trio pakatan baru