Home Ekonomi Adabi nafi dakwaan paksa kakitangan kuarantin bekerja

Adabi nafi dakwaan paksa kakitangan kuarantin bekerja

Adabi Consumer Sdn Bhd (Adabi) menafikan pihaknya mengabaikan pematuhan SOP termasuk dalam kes kematian salah seorang kakitangannya akibat Covid-19 baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Adabi Consumer Sdn Bhd (Adabi) menafikan pihaknya mengabaikan pematuhan SOP termasuk dalam kes kematian salah seorang kakitangannya akibat Covid-19 baru-baru ini.

Syarikat itu juga menafikan kenyataan kononnya pihaknya memaksa pekerja yang berjangkit, ada kontak rapat dan masih dalam kuarantin untuk hadir bekerja.

Dalam satu kenyataannya, pihaknya kesal dengan penularan di media sosial dan kesal dengan dakwaan yang tular.

“Lanjutan daripada penularan posting media sosial baru-baru ini mengenai kematian salah seorang pekerja akibat daripada jangkitan kes positif Covid-19, pihak Adabi kesal tentang perkara ini.

“Pihak Adabi telah menghubungi waris serta keluarga rapat pekerja terbabit sejurus selepas menerima pengesahan maklumat kematian tersebut dan telah mengambil tindakan yang sewajarnya,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Pekerja tersebut dikategorikan sebagai kontak C untuk satu kes positif di mana Adabi terus mengambil tindakan serta merta dengan membuat ujian saringan Covid-19 kepada beliau dan kesemuapekerja yang berada dalam kawasan yang sama dan difahamkan hasil ujian saringan pertama itu adalah negatif.

“Kontak C yang negatif dan tidak bergejala dibenarkan untuk bekerja semula namun jika bergejala, pekerja perlu memaklumkan dengan segera kepada penyelia dan mendapatkan rawatan di klinik panel jika perlu,” katanya.

Menurut kenyataan yang sama, Adabi menegaskan, pihaknya sentiasa bertegas dengan pematuhan SOP.- MalaysiaGazette