Home Politik Parlimen: Ketegasan UMNO akhirnya berjaya

Parlimen: Ketegasan UMNO akhirnya berjaya

Shahrir Samad

KUALA LUMPUR – Ketegasan UMNO dalam mempertahankan dua institusi penting negara – Raja Berperlembagaan dan Pemerintahan Demokrasi Berparlimen – akhirnya berjaya.

Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad menyifatkan tempoh selama 14 hari yang dituntut oleh Biro Politik UMNO itu sungguh bermakna

”Ianya kemenangan demi rakyat. Perjuangan demi rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut beliau, berbekal dengan ketegasan mempertahankan matlamat-matlamat perjuangan parti seperti yang tertera dalam perlembagaannya, kepimpinan tertinggi UMNO yang berada dalam biro politik akan bertemu pula dalam mesyuarat Majlis Tertinggi.

”Bertapak kepada asas yang kukuh, melangkah ke arah hala tuju yang jelas,” kata Shahrir lagi.

Pada 21 Jun 2021, UMNO mendesak kerajaan untuk memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, desakan itu susulan pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu supaya sidang berkenaan diadakan secepat mungkin.

“Sebagai sebuah parti yang diasaskan atas tujuan memelihara dan membela institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO, satu Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi akan diadakan bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan pada 21 Jun lalu.

Dalam kenyataan Istana Negara selepas mesyuarat khas Majlis Raja-Raja, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan supaya sidang Parlimen diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Pelan Pemulihan Negara yang dibentangkan kerajaan dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021, dibahaskan Ahli Dewan Rakyat.

Ia selepas baginda memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat pakar dari pelbagai agensi kerajaan.

Raja-Raja Melayu turut menyokong dan senada dengan pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, selain berpendirian Dewan Undangan Negeri (DUN) dibolehkan bersidang secepat mungkin.

Ahmad Zahid berkata, seperti yang dipersembahkan parti itu kepada Yang di-Pertuan Agong, UMNO berpendirian sidang Parlimen perlu diadakan segera.
bagi membawa pelbagai tuntutan dan harapan rakyat yang sedang kesempitan ketika berdepan pandemik Covid-19, selain memastikan wujud kebertanggungjawaban dalam urusan pentadbiran kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan dalam kenyataan minggu lalu memaklumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan untuk memanggil sidang Parlimen secepat mungkin iaitu sebelum 1 Ogos ini.

Sidang Khas Parlimen dijadual berlangsung selama lima hari sebelum beralih ke Dewan Rakyat selama tiga hari bermula 3 Ogos. – MalaysiaGazette