Home Nasional PKPD sentiasa berubah, sukar agih vaksin ikut lokaliti – KJ

PKPD sentiasa berubah, sukar agih vaksin ikut lokaliti – KJ

Kakitangan KLIA hadir membuat pendaftaran untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Sinovac di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dalam sektor pengakutan udara ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Terminal Utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto SYAFIQ AMBAK, 06 JULAI 2021.

SEPANG – Kerajaan tidak bercadang untuk menyalurkan bekalan vaksin Covid-19 mengikut sesuatu lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di seluruh negara.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ini kerana kawasan PKPD sentiasa berubah setiap hari dan ia menyukarkan pemberian vaksin secara bersasar.

“Kalau saya nak buat agihan vaksin berdasarkan kepada mukim, daerah atau lokaliti PKPD, ia akan menyukarkan kita nak hantar.

“Jadi kita buat keputusan untuk hantar (vaksin) berdasarkan kepada kedudukan negeri setakat ini,” katanya pada sidang media di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Beliau mengulas tindakan Mentei Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada kira-kira 1,500 penduduk di Mentari Court Petaling Jaya, semalam.

Menurut Amiruddin, ia merupakan program pertama di Selangor bagi membolehkan penduduk di kawasan pangsapuri yang dikenakan PKPD itu menerima suntikan vaksin.

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya sentiasa membuat perubahan pengagihan vaksin Covid-19 mengikut kes positif harian paling tinggi di beberapa negeri yang telah dikenal pasti.

“Setiap minggu kita ubah pengagihan, kita melihat semula pengagihan berdasarkan kepada data yang keluar daripada negeri.

“Sebab itu contoh Julai ini kita telah buat keputusan antara negeri yang menjadi sasaran berdasarkan kepada analisa DPKK KKM adalah contoh Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Negeri Sembilan.

“Negeri-negeri ini mempunyai kes harian yang tinggi, di Kelantan pun sedang naik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette