KUALA LUMPUR – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyasar meraih jualan bernilai RM350 juta di Ekspo China ASEAN (CAEXPO) 2017 ke-14 yang berlangsung dari 12-15 Sept, 2017.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Latif Wan Musa berkata, pada 2016, jualan yang dijana daripada CAEXPO berjumlah RM329.6 juta, naik 54 peratus daripada RM214 juta pada 2015.
“Walaupun sasaran itu agak tinggi, kami yakin 172 syarikat Malaysia yang menyertai CAEXPO akan dapat mencapainya berikutan permintaan memberangsangkan dari China,” katanya kepada pemberita pada taklimat berkaitan CAEXPO, di sini, hari ini.
MATRADE mengetuai delegasi syarikat Malaysia yang akan mengisi 179 ruang pameran di CAEXPO 2017 di Nanning International Convention and Exhibition Centre, Wilayah Guangxi, China.
Syarikat-syarikat Malaysia itu yang terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), akan mempamerkan produk dan perkhidmatan buatan Malaysia dalam pelbagai sektor daripada makanan dan minuman hinggalah kepada kesihatan dan kecergasan, gaya hidup dan perkhidmatan.
“MATRADE sentiasa melihat CAEXPO sebagai platform efektif untuk mempromosikan eksport Malaysia dan berdasarkan kepada rekod-rekod yang lepas, ekspo itu terbukti telah menjadi saluran efektif bagi syarikat Malaysia untuk mengembangkan capaian mereka di China.
“China telah menjadi rakan dagangan terbesar kita sejak 2009. Penting bagi kita untuk mengekalkan momentum ini dengan terus memanfaatkan acara perdagangan efektif di China seperti CAEXPO,” kata Wan Latif.
Jumlah perdagangan Malaysia dengan China berkembang sebanyak 4.4 peratus kepada RM240.91 bilion pada 2016 daripada RM230.89 bilion pada 2015.
Eksport Malaysia ke China pada 2016 bernilai RM98.56 bilion manakala import sebanyak RM142.35 bilion.
Bagaimanapun, perdagangan dengan China dalam tempoh separuh pertama 2017 berkembang 41.2 peratus kepada RM59.79 bilion.
Eksport tinggi dicatatkan bagi produk seperti elektrik dan elektronik, produk petroleum, kimia dan produk kimia, getah serta bijih metalliferous dan logam lusuh.
Selain membawakan syarikat Malaysia menyertai CAEXPO, MATRADE juga akan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan China Post, syarikat milik kerajaan China.
Menerusi MoU itu, China Post akan memperkenalkan pavilion Malaysia dalam talian di platform pasaran elektroniknya yang dipanggil ule.com, yang akan mempamerkan produk Malaysia di semua kedai China Post di Wilayah Guangxi.
China Post memiliki 600,000 kedai di seluruh China dan 93 kedai di Wilayah Guangxi.
Kerjasama strategik itu dijangka mengukuhkan lagi kehadiran produk Malaysia di platform eDagang China. – MalaysiaGazette