KUALA LUMPUR – Pemain badminton perseorangan lelaki nombor satu negara Lee Zii Jia akan menggantikan jaguh memanah Khairul Anuar Mohamad sebagai pembawa bendera pada upacara pembukaan Sukan Olimpik Tokyo, 23 Julai ini.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang mengesahkan penggantian itu berkata Khairul Anuar telah meminta untuk diberi pelepasan daripada menjadi pembawa bendera dalam upacara pembukaan Sukan Olimpik Tokyo kerana akan menyertai saingan pada 24 Julai.
Mohamad Norza berkata Khairul Anuar dijangka beraksi pada pusingan kelayakan acara recurve berpasukan campuran bersama Syaqiera Mashayikh di Yumenoshima Park Archery Field.
Penarikan diri Khairul Anuar itu menyaksikan Zii Jia kini akan bergandingan bersama seorang lagi pemain badminton beregu campuran Goh Liu Ying bagi membawa bendera Malaysia.
“Keputusan mesyuarat MOM pagi tadi telah memutuskan untuk memilih kombinasi muka lama dan muka baharu.
“Oleh sebab itu, Zii Jia dipilih kerana beliau merupakan antara atlet yang pertama kali ke Olimpik selain merupakan generasi masa depan Sukan Olimpik dan prospek pingat negara kali ini manakala Liu Ying pula pernah beraksi pada temasya sukan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Mohamad Norza pada 3 Mei lepas mengumumkan MOM memberikan penghormatan kepada Liu Ying dan Khairul Anuar bagi menggalas tugas sebagai pembawa bendera.
Liu Ying, 32, dan pasangannya Chan Peng Soon, 33, yang berkedudukan ketujuh terbaik dunia merupakan pemenang pingat perak ketika Sukan Olimpik di Rio pada 2016 selepas tewas 14-21, 12-21 kepada pasangan Indonesia Tontowi Ahmad dan Liliyana pada aksi final.
Zii Jia, 23, pula dijangka bakal memberi cabaran pingat di Tokyo berikutan kejayaan merangkul gelaran All England setelah mengalahkan pemain nombor dua dunia, Viktor Axelsen dari Denmark 30-29, 20-22, 21-9 di final di Birmingham pada Mac lepas.
Kontinjen negara di Sukan Olimpik Tokyo bakal mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya Malaysia akan menampilkan dua pembawa bendera pada upacara pembukaan.
Sementara itu, MOM dalam satu kenyataan memaklumkan mesyuarat turut menekankan persiapan atlet dan pegawai ke Sukan Olimpik Tokyo selain kepentingan mengamalkan langkah mengelakkan penularan COVID-19 dalam kalangan kontinjen Malaysia iaitu sebelum, semasa dalam penerbangan dan setibanya di Tokyo.
Seramai 30 orang atlet akan mewakili negara dan bertanding dalam 10 acara di Sukan Olimpik Tokyo, pada 23 Julai hingga 8 Ogos ini.
Dalam pada itu, Zii Jia yang terkejut dengan berita pemilihannya berkata penghargaan diberikan kepadanya oleh MOM mampu melonjakkan semangat untuk mencapai keputusan terbaik dalam temasya sukan terbesar dunia itu nanti.
“Terima kasih kepada MOM termasuk Presiden Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Majlis Sukan Negara serta Persatuan Badminton Malaysia (BAM) atas sokongan diberikan untuk memilih saya sebagai pembawa bendera di Tokyo,” katanya dalam satu video dikongsi kepada media hari ini.- BERNAMA