PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan menambah segera katil Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital KKM dan hospital pengajar universiti, contohnya menambah 20 unit katil ICU di Hospital Ampang serta lapan unit katil ICU dan 45 unit katil wad tambahan di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia mulai semalam.
Langkah itu dibuat selepas menilai semula strategi sedia ada dan mengenal pasti langkah responsif serta pantas untuk meningkatkan lagi kesiapsiagaan hospital di Lembah Klang dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Bersepadu MAEPS 2.0 bagi menerima dan merawat pesakit Covid-19 khususnya kategori 4 dan 5 yang semakin meningkat.
Menterinya Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, tindakan itu bagi membolehkan pesakit Covid-19 kategori 4 dan 5 dipindahkan segera dari PKRC MAEPS 2.0 ke hospital sebagai usaha untuk merawat dan menyelamatkan nyawa pesakit.
“Kita juga akan melengkapkan wad di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor dengan 60 katil dan peralatan tambahan yang berjumlah RM1.1 juta bagi meningkatkan lagi keupayaan hospital tersebut menerima pesakit khususnya pesakit Covid-19.
“Kita akan menubuhkan hospital medan dengan kapasiti 50 katil tambahan menerusi kerjasama Angkatan Tentera Malaysia di HTAR Klang, Selangor dan memperluaskan kerjasama dengan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Wangsa Maju untuk menerima dan merawat pesakit Covid-19 bagi Kategori 3 dan Kategori 4.
“Kita akan menugaskan semula (mobilisasi sementara) lebih 110 orang petugas kesihatan yang terdiri daripada lebih 75 orang pegawai perubatan, anggota paramedik dan pemandu dari Negeri Kedah, Perak dan Terengganu serta seramai 43 pegawai perubatan dari hospital di Lembah Kelang ke PKRC MAEPS berkuat kuasa mulai 8 Julai 2021 untuk tempoh antara satu hingga enam bulan,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan di kementerian hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan tambahnya, lebih ramai petugas dari kawasan-kawasan lain yang lebih terkawal keadaannya, sedang giat diusahakan untuk ditempatkan di Lembah Klang.
Justeru katanya, KKM juga dalam proses menambah segera sebanyak 1,550 silinder oksigen bagi memenuhi keperluan pesakit yang memerlukan bantuan oksigen di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0.
Jelas beliau, penambahan silinder oksigen tersebut meliputi sebanyak 400 unit silinder oksigen bersaiz 6.8m3, sebanyak 1,000 unit silinder oksigen bersaiz 1.4m3 dan sebanyak 150 unit silinder oksigen bersaiz 0.7m3 untuk keperluan di dalam ambulan.
“Bagi memastikan pembekalan oksigen ke PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 tidak terganggu, KKM juga memutuskan untuk membuat perolehan ‘oxygen concentrator’ sebanyak 300 unit dan perolehan bekalan oksigen daripada lebih dari satu pembekal.
“Kerja pengujian dan penyerahan dilaksanakan malam tadi bagi 30 unit oxygen concentrator baharu di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 agar ia dapat digunakan segera untuk perawatan pesakit;
“Kita juga mengoperasikan semula Institut Latihan KKM (ILKKM) di Sungai Buloh yang mempunyai keupayaan maksimum sebanyak 2,400 katil yang akan menempatkan pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2 agar PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 dapat memberi tumpuan kepada perawatan dan pemulihan pesakit COVID-19 kategori 3 dan 4.
“Justeru, kita juga segerakan pekerja sukarelawan, terutama Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) bagi membantu menjaga pesakit Covid-19 kanak-kanak yang mana ibu bapa mereka sedang dirawat di hospital kerana Covid-19 dan bekerjasama dengan pengamal perubatan swasta dan pihak majikan untuk menubuhkan Pusat Penilaian Covid-19 dan menubuhkan PKRC,” jelas beliau.
Adham Baba menyatakan harapannya supaya langkah-langkah berkenaan dapat meningkatkan bagi kesiapsiagaan hospital KKM, hospital pengajar universiti, hospital ATM, hospital medan ATM dan PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 untuk menerima dan merawat pesakit Covid-19.
Walau apapun langkah yang diambil,menurutnya langkah pencegahan dan kawalan khususnya oleh setiap individu dalam masyarakat adalah penting bagi menghentikan penularan pandemik tersebut.- MalaysiaGazette