KUALA LUMPUR – Pada ketika pelbagai pihak menghantar bantuan kepada individu dan keluarga yang mengibarkan bendera putih, lain pula keadaannya apabila ada segelintir orang yang mengambil kesempatan.
Di Balakong, Selangor, seorang penghuni di Apartment Seri Pulai dilaporkan memasang bendera putih dengan harapan untuk memperolehi bantuan.
Namun siasatan oleh sukarelawan termasuk dengan bertanya kepada jiran tetangga mendapati penghuni yang meminta bantuan sebenarnya merupakan seorang lintah darat.
Penghuni itu juga dipercayai tidak mengalami kesulitan kewangan kerana baru sahaja menghabiskan RM30,000 untuk mengubah suai rumah.
Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Sun Kin Wah berkata, penghuni itu juga memiliki kereta sendiri dan pelbagai petanda menunjukkan dia mahu menipu bantuan daripada orang ramai.
“Sukarelawan menyediakan makanan untuk memberi bantuan, tetapi mendapati orang ini cuba menipu orang yang bermurah hari dan berbelas kasihan,” katanya seperti dipetik China Press.
Katanya, orang seperti ini cuba mengambil kesempatan dan permintaan bantuan berkenaan ditolak kerana makanan harus diberikan kepada mereka yang betul-betul memerlukan. – MalaysiaGazette