Home Politik PM lantik TPM, menteri kanan dari UMNO kerana tersepit – Puad

PM lantik TPM, menteri kanan dari UMNO kerana tersepit – Puad

Dr. Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri (PM) didakwa membuat pelantikan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan menteri kanan dalam kalangan ahli Parlimen UMNO kerana beliau dalam keadaan tersepit.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zakarshi berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh sahaja melantik TPM sejak awal lagi.

“PM 8 (Muhyiddin) memang tersepit. Dia tahu UMNO akan buat keputusan. Sebab itu beberapa jam sebelum mesyuarat MT diumum perlantikan TPM dan menteri kanan yang baharu.

“Kenapa sekarang. Kenapa tidak setahun dulu? Lantikan itu bukan untuk selesai masalah rakyat tetapi untuk selesai masalah PM 8 dengan UMNO. Scheme of thing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas pelantikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai TPM dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai menteri kanan oleh kerajaan PN baru-baru ini.

Sementara itu, menurut Mohd Puad, keputusan MT UMNO menolak kerajaan Perikatan Nasional (PN) berasaskan tujuh hujah kegagalan Muhyiddin.

“Seorang dua rakan peguam menyatakan, tarik balik sokongan kepada PM lebih mencederakan berbanding tarik sokongan kepada Kerajaan PN.

“Maka keputusan MT adalah tepat. Ia ancaman kepada Muhyiddin dan para pentaksub beliau seperti Tan Sri Annuar Musa.

“Ini kerana YDP Agong memperkenan lantikan seorang PM bukan sebuah kerajaan. PM akan lantik anggota Kabinetnya kemudian,” katanya.

Justeru, tambahnya, apabila PM hilang kuasa, maka kerajaannya juga akan runtuh dan itu berlau kepada Datuk Seri Mohd Faizal Azumu dan Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila mereka letak jawatan dan kerajaan turut tumbang.- MalaysiaGazette