PUTRAJAYA – Setelah diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) sebagai sebuah parti yang sah, Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) akan mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) pertamanya tidak lama lagi.
Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya berkata, ia adalah perancangan pertama yang akan dilakukan oleh parti itu setelah diluluskan.
“Kita adakan AGM dalam masa yang terdekat untuk kita meluluskan beberapa pindaan yang kita buat dan itu kita akan lakukan dalam masa terdekat,” katanya kepada media selepas hadir ke ROS untuk mengambil sijil kelulusan parti hari ini.
Turut hadir adalah Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah.
Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam mengesahkan parti tersebut secara rasminya telah didaftarkan sebagai parti politik pada 8 Julai 2021.
Kelulusan kepada parti tersebut dibuat pada hari terakhir selepas Mahkamah Tinggi memerintahkan Hamzah membuat keputusan berhubung rayuan Pejuang untuk mendaftar parti itu dalam tempoh 14 hari.
Dalam pada itu, Marzuki berkata, Pejuang kini sudah boleh membuka penyertaan secara rasmi setelah diluluskan semalam.
Malah katanya, lebih 20,000 telah mendaftarkan diri untuk menjadi ahli Pejuang sebaik parti itu membuat permohohan pada Ogos tahun lalu.
“Bagi kita bermulanya pendaftaran ini mulai hari ini kita boleh menerima keahlian sebab sudah menjadi parti yang sah. Sebelum ini kita telah menerima hampir lebih 20,000 yang menunjukkn minat untuk menyertai parti.
“Hari ini, dengan secara rasminya mereka semua itu telah menjadi ahli yang sah daripada segi parti,” katanya lagi.
Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Menteri Dalam Negeri (KND) Datuk Seri Hamzah Zainudin membuat keputusan berhubung rayuan Pejuang untuk mendaftar parti itu dalam tempoh 14 hari bermula 25 Jun 2021.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membenarkan permohonan Pejuang untuk semakan kehakiman terhadap tindakan Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang ketika itu belum membuat keputusan terhadap rayuan mereka untuk mendaftarkan parti itu.
Dalam penghakimannya, Ahmad Kamal berkata responden pertama (Menteri Dalam Negeri), tidak boleh mengambil masa terlalu lama untuk memutuskan rayuan tersebut kerana perkara yang terlibat tidak terlalu rumit. – MalaysiaGazette
Agm pe bendanya..ahli pun x smpai 10 org…hahahaha lawak tul lah