Home Sukan Fakhrullah tunggu 11 tahun untuk beraksi Liga Super

Fakhrullah tunggu 11 tahun untuk beraksi Liga Super

Mohd. Fakhrullah Rosli (kanan).

KUALA LUMPUR – Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Begitulah perumpamaan paling tepat untuk diberikan kepada pemain tengah Melaka United FC, Mohd. Fakhrullah Rosli.

Daripada dua tahun lalu sekadar bermain di Liga M3 bersama Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), penantian selama 11 tahun Fakhrullah merasai nikmat beraksi di pentas Liga Super akhirnya menjadi kenyataan.

Walaupun pernah beraksi dengan Melaka pada awal permulaan karier namun itu hanya di kancah Liga FAM sebelum banyak menghabiskan sebahagian besar karier di Liga Premier.

Dia sama sekali tidak menyangka selepas aksi cemerlangnya bersama SAMB, dia mendapat panggilan daripada pengurusan Melaka yang mahukan khidmatnya bagi menghadapi saingan Liga Super 2020.

“Dua tahun lalu adalah detik terbaik dalam karier saya apabila sebaik saingan M3 tamat, saya dihubungi oleh Asri Ninggal yang merupakan penolong jurulatih Melaka.

“Sebaik dia memberitahu ada tawaran, saya memang tidak percaya pada mulanya kerana bermain di Liga Super sedangkan saya hanya beraksi di Liga M3 sahaja pada waktu itu.

“Namun, mungkin sudah rezeki saya selepas sekian lama menanti saat sebegini sejak saya bermain bola sepak kerana memang sangat susah sebenarnya mendapat peluang bermain di Liga Super kerana persaingan begitu tinggi.

“Terima kasih kepada SAMB yang menyelamatkan karier saya selepas masalah pengurusan di Perlis pada 2019 dan apa yang terjadi mungkin ada hikmah tersendiri.

“Apa yang terjadi kepada saya diharapkan dapat berikan semangat kepada rakan-rakan di luar sana, jangan berputus asa walaupun terpaksa bermula dari bawah.

“Di mana sahaja kita bermain, berikan kesungguhan sebaiknya dan peluang itu akan datang jika kita tidak berputus asa kerana bola sepak ini rezekinya sukar dijangka, ” katanya.

Pemain yang berasal dari Jasin ini memulakan karier di peringkat Piala Belia dan Piala Presiden bersama Melaka sebelum mula beraksi di Liga Premier pada 2010 sebelum di Liga FAM hingga musim 2013.

Dia meneruskan karier bersama DRB Hicom FC di saingan Liga Premier selama dua musim (2014-2015) sebelum kembali ke saingan Liga FAM bersama SAMB (2017-2018) dan MOF FC (2018).

Biarpun tahun pertama bersama Melaka tidak diturunkan dalam sebarang perlawanan namun musim ini dia sudah mula berjaya mengetuk pintu hati jurulatih, Zainal Abidin Hassan dengan diturunkan selaku watak ‘supersub’ dalam 11 perlawanan serta berjaya menghasilkan satu gol.

Menurut pemain yang berasal dari Jasin ini, kini dia meletakkan sasaran dapat berada dalam kesebelasan utama buat pertama kali sebaik Liga Malaysia bersambung pada 24 Julai ini.

“Selepas tahun pertama tidak dapat bermain, musim kedua saya mahukan perubahan untuk diri sendiri dan gembira ia menjadi kenyataan apabila jurulatih mula meletakkan saya di bangku simpanan.

“Daripada situ, saya mahu buktikan kesungguhan biarpun hanya 10-20 minit sahaja saya dimasukkan sebelum terdapat dalam dua perlawanan, jurulatih mula gunakan saya sebaik separuh masa kedua bermula dan salah satu dari perlawanan tersebut, saya berjaya menjaringkan gol.

“Kini sasaran saya adalah untuk meraih tempat dalam kesebelasan utama biarpun sedar bukan mudah bersaing dengan pemain-pemain sedia ada yang jauh berpengalaman daripada saya, ” katanya. – MalaysiaGazette